Rabu, 13 Januari 2010

Isu pendidikan Anak kita




Alhamdulillah, dalam kesibukan menguruskan persekolahan dan pengajian anak pada awal tahun, ditambah dengan kerja-kerja perancangan dakwah warga sukan dan pengisian program-program ceramah,

akhirnya penulisan blog mendapat keutamaannya juga.

Namun, sebagai hamba Allah, saya juga sama dengan saudara-saudari, sentiasa berharap dan berdoa semoga Allah membantu kita. Masih jatuh bangun dalam bermujahadah. Kekadang saya mengajar, banyak kali pula saya belajar. Bertemu berbagai guru… pengajarannya cuma satu, ikhlaslah dalam belajar dan mengajar.

Jika tidak ikhlas, kita akan terbabas. Baik setinggi manapun kedudukan kita, samada sebagai pemimpin, hartawan, guru atau sebagainya… tanpa ikhlas, kita akan jatuh. Terhina di dunia dan di akhirat, walaupun pernah di selaputi nama, kuasa, harta dan ilmu.

Jangan persoalkan keikhlasan orang lain, tetapi telek dan beleklah keikhlasan diri sendiri. Rahsia hati yang tidak diketahui oleh sesiapa, melainkan oleh Allah sahaja. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas.

Sahabat, saudaraku, kini saya kembali di lapangan latihan – dakwah dan tarbiah.

Berada di kehijauan belantara dan kedinginan aliran sungai Hulu Yam ini menghadiahkan saat termahal untuk bermuhasabah.

Di pagi ini sebelum memulakan tugasan, saya berkesempatan singgah dan meninggalkan bekas di blog ini. Pada kesempatan ini saya ingin mengingatkan diri saya dan semua tentang amanah. Sesungguhnya hidup adalah satu amanah.

Amanah sebagai ibu-bapa, anak, guru, murid, pemimpin dan pengikut. Berat sekali amanah ini, tapi hidup perlu diteruskan… dan amanah perlu digalas.

Sahabat saya, seorang bekas qadhi, pernah men¬ceritakan be¬tapa seorang ibu mengeluh tentang kelakuan buruk anak¬nya. Anak tersebut suka sangat mencuri. Habis semua barang milik teman-teman dicurinya. Kata ibu tersebut, “Entah¬lah, bagaimana saya harus menyelesaikan masalah ini. Hari-hari ada sahaja barang orang lain dicurinya semasa bersekolah. Hari ini pensil, esok pemadam… Puas saya nasihat tidak juga berkesan. Sudah saya ambil pensil dan pemadam pejabat saya bekerja, saya berikan kepadanya, tapi dia tetap mencuri juga.”

Saya kira anda pasti tersenyum mendengar cerita ibu ini. Ibu yang umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Inilah perihal, ibu yang ‘mencuri’ harta pejabat, untuk menyelesaikan masalah anaknya yang ‘mencuri.’

Mungkin sesetengah pihak menganggap adalah tidak logik untuk mengaitkan antara perlakuan seseorang dengan sumber rezeki yang dimakan, digunakan atau di-manfaatkannya.

Mana rasionalnya me¬ngait¬kan perlakuan anak yang mencuri dengan perlakuan ibu yang mencuri misalnya? Itu anggapan kebanyakan kita yang hanya melihat secara tersurat. Tetapi itu berbeza dengan pandangan ulama-ulama Islam khususnya para pendidik yang melihat secara tersirat – maksudnya selaras dengan pandangan syariat.

Mengikut para ulama ter¬utamanya yang begitu me¬ngambil berat soal sumber rezeki, perlakuan seseorang adalah ditentukan faktor ibu bapa, guru-guru, corak pendidikan yang diberi, persekitaran dan termasuk sumber rezeki yang membesarkannya. Ini bersandarkan firman Allah yang maksudnya:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)

Rasulullah s.a.w. me¬nguatkan lagi hakikat ini me¬nerusi sabdanya:
“Sesungguhnya daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya.” (Riwayat at-Tabrani)


Menghayati hakikat ini¬lah yang men¬ye¬babkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan semula susu yang di¬minum¬nya apabila mengetahui sumber wang untuk membeli susu itu dari¬pada hasil kerja bertenung nasib. Umar Ibn Aziz mengorek semula epal sedekah untuk rakyat yang sedang dikunyah oleh anaknya.

Begitu juga ayah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang rela menghambakan diri kepada tuan punya ladang apabila dia termakan sebiji epal yang hanyut di sungai dari ladang tersebut. Imam Syafie pernah berhenti memakan kambing apabila didapati ada kambing zakat yang terlepas lalu bercampur gaul dengan kambing-kambing biasa.

Timbul persoalan, apa¬kah kita mematuhi syariat di¬sebabkan faktor iman atau hanya faktor adat se¬mata-mata? Mungkin, kita menyembelih ayam hanya berasaskan adat kita makan ayam sejak nenek moyang dahulu lagi mesti disembelih. Lalu adat itu dipatuhi secara turun-temurun menjadi budaya yang hilang makna dan falsafahnya. Masyarakat kita sudah tidak tahu kenapa, mengapa dan kepada siapakah kita tujukan pematuhan syariat itu. Kalau kita sedar bahawa pematuhan syariat adalah berasaskan keimanan kepada Allah, maka kita akan memandang serius perbuatan mencuri ayam sama dengan memakan ayam yang tidak disembelih.

Justeru, jika curi ayam itu dianggap dosa seberat (malah sebenarnya lebih berat) daripada dosa makan ayam tanpa sembelih, bagaimana pula dengan dosa ‘curi tulang’ (tenaga), curi masa dan berbagai-bagai lagi curi semasa kita menjalankan kerja sama ada di sektor swasta ataupun kerajaan?

Bagaimana ‘despatch boy’ yang ‘warmak’ (maksudnya melencong ke warong mamak) semasa menghantar surat atau pesanan? Begitu juga para eksekutif yang membuat kerja-kerja MLM (multi level marketing) peribadi mereka dengan menggunakan waktu pejabat? Atau pengarah yang melakukan rasuah semasa menjalankan amanah pengurusan dan pentadbiran syarikat?

Ramai yang beranggapan, selagi tidak ditangkap, dibuang kerja atau dihukum, semua perlakuan negatif di atas tidak ada masalahnya. Yang salah, kalau ditangkap.

Tetapi sedarkah kita bahawa setiap perlakuan haram itu adalah berdosa? Mungkin kita terlepas daripada hukuman di dunia, tetapi masakan kita boleh lepas daripada hukuman di akhirat? Itu suatu yang pasti. Individu yang terlibat dengan rasuah misalnya, akan dihumban ke dalam neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang memberi dan me¬nerima serta perantara rasuah akan dimasukkan ke neraka.” (Riwayat Abdullah Ibn Umar)

Begitu juga mereka yang terlibat dengan usaha pe¬nipuan, mencuri, merompak, riba, penzaliman dan sebagai¬nya.

Mereka yang benar-benar beriman akan menjaga sumber rezeki dengan berhati-hati. Apa lagi dengan yang haram, yang syubhat pun dijauhi sedaya mungkin. Bahkan bagi mereka yang muqarrabin (orang yang sangat hampir dengan Allah) yang halal itu pun masih ditangani secara berhati-hati, bimbang terjebak dalam perbuatan yang membazir, menimbulkan fitnah atau perkara yang sia-sia. Sesetengah mereka begitu takut untuk ‘tertawan’ oleh nikmat dunia hingga berkata:
“Aku takut akan nikmat dunia kerana halalnya di¬hisab, manakala haramnya pula diazab.”

Perlu juga diingat bahawa satu kejahatan dan perlakuan haram itu bukan sahaja di¬balas di akhirat, malah di dunia lagi kita akan menerima bahananya. Bagaimana?

Jawabnya, perlakuan haram dan berdosa itu memberi kesan langsung kepada pembentukan peribadi kita, ahli keluarga bahkan generasi kita! Akibat sumber rezeki yang haram, anak, isteri malah diri kita sendiri akan cenderung untuk melakukan kejahatan. Isteri mungkin curang. Anak-anak mungkin menjadi degil dan payah diatur. Pendek kata, individu yang dibesarkan oleh sumber rezeki yang haram akan mudah melakukan ke¬jahatan dan sukar melaku¬kan kebaikan.

Sayang sekali, sekiranya seorang ibu bapa menyedari benar-benar akan hakikatnya ini, pasti dia akan berhati-hati dalam memberi rezeki untuk anak-anaknya. Sekiranya, seorang sebaik Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah dilahirkan hasil menjaga sumber rezeki yang halal oleh ibu bapanya, maka perkara sebaliknya boleh berlaku apabila anak-anak diberi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan