Ahad, 31 Januari 2010

respon Mantan Mufti Johor - atlit bertangkal berbomoh


Perbuatan syirik

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
2010/01/31

KUALA LUMPUR:


“Perbuatan ini adalah syirik dan sesiapa yang mempercayai kekuasaan selain Allah, maka secara tidak langsung dia menjadi murtad,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, mengenai amalan ilmu hitam segelintir atlit bagi melindungi diri atau memenangi pertandingan.

Noh berkata, Islam secara terang melarang manusia berkawan dengan makhluk ghaib, khususnya jin dan syaitan, bagi mendapatkan perlindungan, apatah lagi jika menganggap makhluk berkenaan berkuasa.


“Jika melihat dalam surah Al-Jin ayat keenam, jelas menerangkan bahawa perbuatan seseorang itu berkawan dengan makhluk ghaib membabitkan jin dan syaitan bagi tujuan tertentu membuatkan golongan makhluk berkenaan menjadi bertambah sombong dan menafikan kekuasaan Allah.


“Sebagai umat Islam, kita sepatutnya bergantung dan reda dengan ketentuan Allah dan setiap kejadian yang dialami kerana sebagai manusia, kita memang tidak sempurna,” katanya.


Menurutnya, dengan berniat di dalam hati bahawa sesuatu makhluk seperti jin atau syaitan itu berkuasa dan boleh melindungi dan memberi kejayaan kepada mereka, seseorang itu perlu bertaubat kerana sudah menyekutukan Allah.


“Niat saja sudah cukup membuatkan seseorang itu murtad, apatah lagi jika mereka mengamalkan perbuatan salah seperti pengamalan ilmu hitam.


“Sepatutnya mereka (atlit) perlu sedar mengenai perkara ini kerana larangan itu adalah sebesar-besar tanggungjawab yang perlu dipikul berbanding tanggungjawab terhadap memperoleh kemenangan dalam pertandingan,” katanya.


Beliau berkata, setiap atlit seharusnya berusaha mempertingkatkan potensi diri selain perlu mendekatkan diri dengan amalan Islam berikutan faktor kemenangan itu adalah atas ketentuan Allah.


“Tidak ada yang lebih berkuasa selain Allah. Ini kerana tanpa keredaan Allah, sebesar mana usaha yang kita lakukan, setiap daripadanya pasti menemui kegagalan.


“Disebabkan itu, di dalam Islam kita perlu sentiasa berusaha tanpa jemu di samping tidak meninggalkan setiap amalan yang dituntut oleh Islam,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan pendedahan Pegawai Agama Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Hasnol Abu Bakar, mengenai gangguan makhluk halus di asrama MSN Bukit Jalil sejak beberapa bulan lalu.


Dalam laporan itu, Mohd Hasnol berkata, gangguan berkenaan berpunca daripada segelintir atlit yang mengamalkan ilmu hitam bagi melindungi diri serta memenangi setiap pertandingan yang disertai.

1 ulasan: