Selasa, 2 Mac 2010

Bertambah Bilangan Saudara Iman



Malam semalam, ketika ana di amanahkan mempengerusikan Forum Bicara Addin anjuran masjid Nurul Ehsan Kg Medan PJ dimana bersama Ustaz Hj Azhar yahya serta ahli panel pertama Ustaz Aris Hazlan Ismail yang mendedahkan perihal menarik yang berlaku di tempatnya bersempena Karnival Maulidur Rasul, Masjid Tengku Sulaiman Ketari menjemput seorang doktor yang baru memeluk Islam, Dr Mohd Siv Azhar Merican Abdullah. Beliau yang berkhidmat sebagai seorang timbalan pengarah sebuah hospital menyampaikan kuliah subuh sebagai satu perkongsian pengalamannya menemui hidayah Allah.

Bapanya beragama Hindu dan ibunya Budha. Berusia awal 30-an, Dr Azhar mengaku beliau seorang yang kuat berpegang kepada agama Hindu suatu ketika dahulu. Setiap pagi, sebelum pergi ke hospital, beliau terlebih dahulu mengunjungi kuil untuk bersembahyang dan berdoa. "Saya memohon doa agar keputusan yang saya berikan dalam merawat pesakit menjadi keputusan yang dirahmati."

mBeliau yang nama asalnya Siva Saravana Kumar pernah mengkaji agama Kristian dan kitab Bible, namun hatinya lebih tertarik dengan kebenaran Islam dan Al Quran. Ketika ditanya oleh Timbalan Qadhi, sebab yang mendorong beliau memeluk Islam, jawapannya ringkas sahaja, "Saya seorang doktor..."

Menerusi kuliah subuh pagi tadi, Dr Azhar menjelaskan, ketika mengkaji Al Quran, beliau mendapati di dalamnya terdapat fakta yang hampir sama ditemuinya dalam Bible. Namun Al Quran mengandungi ilmu yang lebih menakjubkan. Walaupun ia diturunkan lebih 14 kurun lampau, namun fakta sains di dalamnya sama seperti apa yang dipelajarinya di fakulti perubatan beberapa tahun sebelum menjadi doktor.

"Setelah kebenaran saya temui di dalam Al Quran, apa yang saya perlu tunggu lagi. Saya segera memeluk agama ini," ujar beliau yang menyebabkan hati-hati para hadirin tersentuh.

Suatu yang menakjubkan, walaupun baru beberapa hari memeluk Islam, namun setiap kali beliau singgah di mana-mana surau untuk bersolat, pasti ada hamba Allah yang mempelawanya menjadi imam. Dr Azhar kehairanan. Bagi saya ia tidak menghairankan. Mereka yang suci dan bersih di sisi Allah akan terpancar cahaya pada wajahnya. Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, segala dosanya yang lalu diampunkan Allah. Beliau bagaikan baru lahir semula tanpa menggendong sebarang dosa. Failnya adalah fail baru....

Kini beliau sangat memerlukan bimbingan, sokongan dan tunjuk ajar agar menjadi seorang Islam yang baik. Bersama kita doakan agar Dr Azhar istiqamah dan terus menjadi salah seorang ahli keluarga kita hingga ke hari qiamat.

1 ulasan:

  1. itu sangat menarik untuk dibaca. Saya ingin mengutip posting Anda di blog saya. Hal ini dapat? Dan Anda et account di Twitter?

    BalasPadam