Bersukan bermain bola boleh berbuka
BERLIN 6 Ogos - Pemain bola sepak profesional muslim mungkin boleh makan seperti biasa menjelang bulan Ramadan bermula Rabu depan berikutan satu kata sepakat telah dilakukan di antara para pemimpin Islam dan pegawai sukan Jerman. Dewan Pusat Muslim di Jerman telah membuat perbincangan bersama badan bola sepak profesional negara itu dan meminta nasihat dari ulama Islam bagi menyelesaikan pertikaian terhadap pemain yang berpuasa.
Universiti Al-Azhar di Kaherah membuat kesimpulan bahawa pengecualian dari berpuasa di bulan Ramadan boleh dilakukan oleh pemain profesional. Pihak berkuasa terkemuka di Sunni Islam, Al- Azhar menulis, “kontrak di antara pemain dan pasukan memerlukan pemain memberikan persembahan terbaik dan jika ini adalah satu-satu sumber pendapatan mereka, yang memaksa bermain ketika puasa, mereka dibenarkan untuk makan.” - AFP
Sumber: Utusan Malaysia Online.
--------------------------------------------------------------
Masa UF di Mesir dulu, heboh bila mufti Mesir Dr. Nasr Farid keluarkan pendapat, pemain bola yang mewakili negara (Mesir) di luar negara pada bulan Ramadan dibolehkan untuk berbuka. Pendapat beliau mendapat kecaman daripada pelbagai pihak. UF sendiri hairan bila mufti Mesir mengeluarkan pendapat macam tu. Kalau tidak silap hujah yang digunakan ialah pemain-pemain tu mewakili negara dan berjuang menaikkan nama negara.
Bagi UF hujah tu memang kabur kerana illat itu tidak mundabitah. Menurut perbahasan Usul Fiqh, antara illat atau sebab dirukhsahkan (dibolehkan) berbuka puasa ketika Ramadan ialah sakit atau musafir. Ia dianggap uzur Syarie namun perlu mengqada semula puasa yang ditinggalkan itu. Bagi UF kalau pemain bola Mesir bermain dalam sesuatu kejohanan di luar negara, sepatutnya illat yang digunakan ialah musafir. Dalam erti kata lain pemain bola Mesir boleh untuk tidak berpuasa kerana mereka sedang bermusafir. Musafir ialah rukhsah yang dijamin oleh Syariat.
Perkara ini boleh dilihat dalam perbincangan “azimah” (hukum asal) dan “rukhsah” (hukum yang diringankan) dalam ilmu Usul Fiqh. Tidak timbul isu mencabar hukum berpuasa yang qat’ie. Cuma janganlah makan atau minum secara terang-terangan ketika permainan. Ia boleh menimbulkan fitnah, apatah lagi Mesir selalu menayangkan perlawanan secara langsung yang melibatkan pasukan negaranya.
Kalau dikatakan kenapa perlunya bermain bola di bulan Ramadan dan tidakkah ia perkara lagha. Jawapannya sesuatu kejohanan bola sepak terutama di negara bukan Islam tidak mengambil berat pun isu puasa atau tidak. Malah di Mesir sendiri, liga bola sepaknya berjalan seperti biasa di bulan Ramadan. Sepanjang UF menonton perlawanan bola di tv Mesir dalam bulan Ramadan, tidak perasan pula ada pemain bola yang minum ketika permainan.
Di Malaysia, liga bola sepak memang dihentikan pada bulan Ramadan. Takpelah sebab kita yang menganjurkannya dan FAM diterajui oleh mereka yang beragam Islam. Namun kalau terlibat dengan kejohanan yang dianjurkan oleh orang bukan Islam kita terpaksa mengikut jadual yang ditetapkan.
Mengenai isu lagha bermain bola masih boleh dibahaskan kerana hukum asal riadah (termasuk main bola) adalah harus. Ia boleh menjadi haram jika ada unsur-unsur haram seperti meninggalkan solat dan sebagainya. Berseluar pendek haram di sisi mazhab Syafi’i kerana aurat lelaki antara pusat dan lutut. Manakala dalam mazhab Maliki ada aurat mukhaffafah (lutut) dan aurat mughallazah (kemaluan). Jadi mendedahkan lutut tidak dianggap berdosa. Maksud UF isu aurat adalah isu yang khilaf di kalangan ulama.
Berbalik kepada isu puasa dan bola, jika bermusafir maka ia adalah illat dirukhsahkan untuk berbuka. Bila disebut rukhsah, maknanya bukan wajib berbuka tetapi terpulang kepada seseorang itu sama ada meneruskan puasanya atau pun berbuka. Jika dia berpuasa itu lebih baik, namun jika dia berbuka tidak berdosa tetapi perlulah mengqadanya semula.
Keratan akhbar utusan di atas yang UF petik tu adalah isu berbeza dengan apa yang UF ulas di atas. Kalau bermusafir memang tidak ada masalah. Kalau pemain-pemain Islam yang bermukim dan bermain dengan kelab-kelab bola di Eropah, maka menurut laporan akhbar utusan tu dah ada “ijtihad” yang membolehkan untuk tidak berpuasa.
Sukar juga untuk menentukan keabsahan illat yang digunakan tu. Masih dan tetap akan menjadi perdebatan hangat di kalangan para ulama. Kalau salah pun ijtihad yang dibuat, ulama yang terlibat mengeluarkan pandangan tu tetap mendapat pahala. Itupun disyaratkan ulama yang mempunyai ilmu, bukannya mereka yang jahil. Wallahu A’lam Bi al-Sawab.
www.usulifaqih.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan