Jumaat, 16 November 2012

Khutbah ILP " Hijrahkan Diri "



Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang

Jemaah sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada

Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala

larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Hijrah Diri”.

 
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
 
Tahun baru 1434H seharusnya bahkan sewajibnya menjadikan kita lebih matang. Matang dalam berfikir, matang dalam beramal dan matang dalam menjadi seorang Muslim yang sebenarnya. Perubahan akan sentiasa berlaku dalam kehidupan hidup manusia. Kerana manusia itu pasti inginkan yang terbaik untuk dirinya. Maka bagi seorang Muslim, dia pasti inginkan yang paling baik untuk dirinya, bukan terbatas di dunia sahaja tetapi terbaik di akhirat. Bahkan meletakkan kebaikan akhirat melebihi segalanya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sempena tahun baru 1434H, pada tanggal 02 Muharam ini, marilah kita

sama-sama merenung Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 100:

Dan sesiapa yang berHIJRAH pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHIJRAH yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala HIJRAHnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [an-nisa’:100]

Marilah kita berHIJRAH menjadi seorang Muslim yang lebih baik.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Janganlah kita nilai harga sebuah HIJRAH itu pada luarannya sahaja. Jika manusia yang kita letak sebagai hakimnya, sudah pasti luaran yang akan kita utamakan kerana terbatasnya diri manusia untuk tahu melainkan yang luaran sahaja. Tetapi jika kita menjadikan Allah sebagai hakimnya, HIJRAH spiritual yang akan kita utamakan tanpa mengabaikan HIJRAH fizikal. Allah itu maha hebat maha mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang kita sembunyikan.

Marilah kita berHIJRAH menjadi seorang hamba Tuhan yang lebih baik.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w mengajar kepada kita 1001 hikmah yang wajar kita cari gali dan fahami. Ibrah dari segi persediaan HIJRAHnya, ibrah dari segi pelaksanaan HIJRAHnya dan ibrah selepas dari HIJRAHnya. Lihatlah betapa sangat patuh dan taatnya para sahabat-sahabat Nabi s.a.w kepada perintah Allah dan Nabi s.a.w. Sehingga Allah mengangkat mereka menjadi golongan yang sangat di dunia akhirat, dimuliakan penduduk bumi dan penghuni langit. Kuncinya kerana patuh akan perintah Allah tanpa sebarang keraguan, baik dalam perkara kecil sehingga kepada perkara besar, baik dalam urusan sendiri sehingga kepada urusan ummat.

Kerana mahalnya sebuah HIJRAH.

Dan sesiapa yang berHIJRAH pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHIJRAH yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala HIJRAHnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [an-nisa’:100]

Mulai HIJRAH kita dengan taubat kepada Allah, peliharanya dengan amal soleh. Suburkan nilai HIJRAH kita dengan menyatukan diri kita dengan kebaikan. Sertai program yang menjaga amal dan meningkatkan iman, dengar perkara yang menjaga amal dan meningkatkan iman, lihat perkara yang menjaga amal dan meningkatkan iman, bercakap perkara yang menjaga amal dan meningkatkan iman.

Jangan kita sia-siakan HIJRAH yang kita pilih hari ini.

Semoga Allah akan menerima segala amal kita. Semoga Allah akan mengampuni dosa-dosa kita. Semoga Allah akan menunjukkan kepada diri kita jalan yang lurus dan beri kekuatan kepada diri kita untuk mengikut jalan yang lurus itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan