Rabu, 13 Januari 2010

10 Pepatah Tentang Masa:


Mari Kita Menghayatinya

aik..
dah masuk setengah bulan di Bulan Januari 2010..cepatnya masa bergerak berjalan dan berlariii

1. Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka menyeru kepada kebenaran dan menyeru kepada kesabaran. (al-Qur’an)
2. Bila anda menguasai masa, anda akan memahami kebenaran bahawa kebanyakan orang terlebih jangkaan terhadap apa yang mereka mampu capai dalam setahun dan juga apa yang mereka mampu capai dalam sedekad! (Anthony Robbins)
3. Anda tidak akan berjumpa masa untuk sesuatu. Jika anda mahukan masa, anda mesti mencipta masa. (Charles Buxton)
4. Mereka yang teruk dalam mengurus masa sentiasa mengeluh bahawa mereka kesuntukan masa. (La Bruyere)
5. Tiada apa milik kita kecuali masa. (Geothe)
6. Mereka yang memiliki masa memilii segalanya. (Benjamin Disraeli)
7. Semua bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari ini. (Pepatah Cina)
8. Masa ibarat pedang! Jika kita tidak menggunakan untuk memotong, ia akan memotong kita (Dalam peperangan) (Pepatah Arab)
9. Anda sentiasa menangguh, tetapi masa tidak berbuat demikian. (Benjamin Franklin)
10. Masa yang hilang tidak akan ditemui lagi. (Benjamin Franklin)

bagaimana menjadi HARAM membakar gereja




Sebuah Negara Islam di zaman silam dan sejarah pembukaan Islam ke negara-negara yang mempunyai gereja, Nabi s.a.w dan para sahabat tidak sama sekali mengarahkan meruntuhkannya, Nabi hanya tidak membenarkan pembinaan gereja baru sahaja. Namun gereja-gereja yang telah wujud dan tidak digunakan untuk mencetus peperangan dan tidak menjadi perkubuan tentera, tidak sama sekali dirosakkan dan dirobohkan.

NABI DAN SAHABAT TIDAK ROBOHKAN GEREJA

Sahabat besar, Imam Ibn Abbas r.a pernah dicatatkan berkata "mana-mana kawasan 'ajam' (bukan Arab) yang dibuka dengan izin Allah melalui kekuatan Islam, maka penduduk asal bukan arab boleh mengekalkan binaan mereka"

Ibn Qudamah kemudian mengulas :

ولأن الصحابة فتحوا كثيرًا من البلاد عنوة فلم يهدموا شيئًا من الكنائس، ويشهد لصحة هذا وجود الكنائس والبيع في البلاد التي فتحت عنوة. ومعلوم أنها ما أحدثت، فيلزم أن تكون موجودة فأبقيت. وقد كتب عمر بن عبد العزيز إلى عماله ألا يهدموا بيعة ولا كنيسة ولا بيت نار، ولأن الإجماع قد حصل على ذلك، فإنها موجودة في بلد المسلمين من غير نكير

Ertinya : Itu adalah kerana walaupun para sahabat membuka banyak negara baru melalui jalan peperangan, tidak sama sekali mereka merobohkan mana-mana gereja...dan Khalifah Umar Abd Aziz menulis kepada petugas-petugasnya agar TIDAK MEROSAKKAN GEREJA, BIARA-BIARA, RUMAH API (TEMPAT IBADAH) , kerana kerana telah Ijma' atas perkara itu, dan tidak dapat dinafikan wujud di negara-negara umat Islam ( Al-Mughni, Jld 10, hlm 609)

Itulah pendirian Islam khususnya di dalam keadaan Islam begitu kuat dan menguasai sebahagian besar dari peta dunia. Berbeza di zaman serba moden ini, tatkala penganut Islam tidak seperti dahulu, mereka tidak benar-benar ‘menguasai' seperti para sahabat dahulu, mereka hanya berkongsi kuasa bersama golongan bukan Islam. Dalam keadaan seperti itu, kehormanian melalui kefahaman untuk tidak menganggu tempat ibadah agama pihak lain tentulah menjadi amat PENTING DAN UTAMA. Khususnya, apabila penduduk bukan Islam di sesebuah negara tersebut telah mengikat satu janji taat setia kepada negara, malah menjadi warganegara.

MEMBAKAR INI TINDAKAN ZALIM, BOLEH BAWA BANYAK KEZALIMAN

Allah taala menyebut :

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Ertinya : orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: ""Tuhan kami hanyalah Allah"". Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain[1], tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." ( Al-Haj : 40)

Imam Al-Tabari ketika mengulas ayat ini berkata :-

كل ذلك دفع منه الناس بعضهم عن بعض ، لولا ذلك لتظالموا ، فهدم القاهرون صوامع المقهورين

Ertinya : itulah hasil dari kerana Allah taala menolak keganasan antara satu sama lain, jika tidak kerana itu, mereka akan saling zalim menzalimi, maka yang kuat akan merobohkan tempat ibadah yang lemah ( Tafsir At-Tabari, Jil 18, hlm 648)

Imam Al-Qurtubi pula membawakan kata-kata ulama sebelumnya yang berkata:-

تضمنت هذه الآية المنع من هدم كنائس أهل الذمة ، وبيعهم ، وبيوت نيرانهم

Ertinya : Ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka ( Tafsir Al-Qurtubi, Jld 12, hlm 67)

Walaupun status ahli zimmah mungkin sukar diterima pakai untuk penganut bukan Islam di zaman ini, namun yang jelas, dalam sebuah negara moden berbilang agama dan bangsa. Kekuatan Negara yang dikongsikan secara bersama. Kurang tepat untuk mengambil bulat-bulat beberapa pandangan ulama silam, yang dilakukan berdasarkan situasi politik dan agama yang ada di hadapannya, di ketika kekuatan Islam yang sangat berbeza.

Justeru itu, Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya mengganggu gereja dan YAHUDI SERTA KRISTIAN dan lain-lain penganut selainnya pula tidak boleh MEROSAK DAN MENGGANGGU MASJID.

TINDAKAN YANG MESTI DIKUTUK

Maka dengan itu, saya malah kita semua patut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pelaku pembakaran gereja ini.

Namun begitu, saya juga ingin melahirkan kebimbangan jika tindakan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran buruk kepada penganut Islam dan Islam itu sendiri. Lebih merbahaya jika ia sebuah provokasi untuk menyeru tindakbalas dari pihak Kristian.

Hakikatnya, jika ia dilakukan oleh orang Islam, itu adalah akibat ketidakfahamannya terhadap maksud sebenar kehendak Islam, jelasnya tindakan sebegitu bukan sama sekali arahan Agama, khususnya apabila ia hanya bakal mencetuskan kemudaratan yang lebih besar. Ini sekali lagi menjadikan tindakan 'bakar gereja' sebagai HARAM.

YANG INGIN TERUS MEMBANTAH PENGGUNAAN NAMA ALLAH

Kepada semua YANG MEMBANTAH, SEBELUM TERUS MENERUS MENERUSKAN BANTAHAN, AMAT BIJAK LAGI ELOK JIKA KERAJAAN ATAU MANA-MANA PIHAK BERAUTORITI MENGADAKAN DISKUSI TERTUTUP ANTARA WAKIL MUSLIM DAN KRISTIAN. Terangkan dengan jelas situasi dan keadaan di Malaysia dan beritahu permintaan kita dengan diskusi. Saya kira cara itu mungkin jalan terbaik dan paling tepat di ketika ini.

Bagi yang ingin terus membantah, bantahan boleh dibuat namun jangan sesekali memulakan pergaduhan dan pemusnahan fizikal, kerana ia bakal mencetuskan kesan yang jauh lebih buruk, bukan di peringkat Malaysia sahaja, malah di seluruh dunia. Malah, berita ini sudah pun tersebar meluas di Negara barat ini, menampakkan seolah umat Islam sentiasa wajar digelar pengganas. Padahal tidak mampu dipastikan lagi siapa pelakunya dan apakah agamanya.

Oleh itu, bagi saya, apa yang perlu, boleh nyatakan bantahan secara aman melalui Facebook, blog persendirian, demonstrasi aman, memorandum dan selebihnya, TUNGGU KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN.

Jika keputusan masih tetap menghala kepada mengharuskan, DESAK DAN BERIKAN IDEA KEPADA pihak kerajaan untuk MELETAKKAN SYARAT PENGGUNAAN ATAS NAMA KESELAMATAN NEGARA. Mereka perlu mencari peruntukan undang-undang sesuai yang boleh digunakan bagi tujuan tersebut.



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

10 Jan 2010

Gereja dibakar : Berdosa HARAM

Rentetan kerja-kerja Haram


8 Januari 2010

* Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar
* Gereja Assumption di Petaling Jaya dibaling bom api
* Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dibaling bom api

9 Januari 2010

* Gereja Good Shepherd Luthern di Petaling Jaya dibaling bom api

10 Januari 2010

* Gereja Baptist Melaka di Durian Daun, telah disimbah dengan cat hitam.
* Gereja All Saints di Taiping dibaling bom api
* Pos pengawal SM Convent di Taiping dibaling bom api
* Gereja St Louis yang terletak bersebelahan SM Convent juga dibaling bom api
* Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, Miri di baling bata

11 Januari 2010

* Pintu utama Gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban dibakar

Rabu, 6 Januari 2010

teka teki siapa dapat jawab!


Al-Kisah

Tiba-tiba seorang sahabat lama memulakan bicara dengan malu-malu kucing "Assalamualaikum, ustaz sihat? Saya hendak bertanya ustazlah?"

Saya pun menjawab "al-Hamdulillah, tanyalah. Kalau saya boleh jawab, saya akan cuba jawab tetapi jika saya tidak tahu, saya mohon tangguh"

"Begini... anak saya berumur 5 tahun di tadika PASTI di.... Dia tanya pada saya, siapa nama nenek Rasulullah saw. Muallimah cuma bagitau nama datuk nabi, Abdul Mutallib"

Hari Sabtu lepas, 8 November saya pergi gotong royong rumah jiran yang mengadakan kenduri kahwin.

Sambil memproses ayam saya pun melontarkan soalan yang sama kepada beberapa teman yang berhampiran saya. Saya cuba memulakan bersembang topik 'ilmiah' daripada cerita-cerita yang tidak tentu hujung pangkal, kutuk orang sana sini.

"Saudara, kita tahu nama datuk nabi, Abdul Mutallib tetapi ada sesiapa yang tahu atau tidak nama nenek nabi?"

Masing-masing tercengang, seolah-olah dilempar soalan maut. Memang maut pun sebab tidak ada yang berjaya menjawab.

"A, saya bagi satu minggu... B, saya bagi 2 minggu, trylah cari jawapannya" Saya cuba meredakan gelodak jiwa saudara-saudara saya.

Tuan-tuan pula bagaimana?

Siapa nama nenek nabi saw?

Jangan ke mana-mana, saya akan kongsi jawapannya pada minggu hadapan di tempat yang sama (blog ini) yang mungkin diwaktu yang tidak sama.

Saya juga akan beri bonus lain, nama sepupu-sepupu Rasulullah dan makcik-makciknya.

Insya Allah... Kalau saya lupa, ingatkan saya.

Isnin, 4 Januari 2010

Antara Hukum(Dalil)& Ilmu Siyasah..Keutamaan mana?




Dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Selain itu, kita juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Kaedah "Menolak kemudharatan adalah lebih utama berbanding dengan menerima maslahah"

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Jangan samakan dengan situasi Malaysia seperti keadaan penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di Mesir dan di indonesia

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.


Artikel Asal

www.zaharuddin.net

Sabtu, 2 Januari 2010

Penggunaan Nama Allah oleh Agama-agama Lain.


* Artikel ini ditulis sebelum keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan Harold Weekly menggunakan kalimah 'Allah'

Artikel 1

Sehingga Mac 2009 polimik penggunaan nama Allah berterusan di Malaysia apabila Gereja Kristian di Malaysia mahu menggunakan nama tersebut dalam penerbitan mereka di atas dakwaan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Islam sebagai agama rasmi di negara ini, telah mempunyai beberapa peraturan untuk menjaga kesucian agama Islam dan ia dijamin juga oleh perlembagaan. Bahkan di negeri-negeri, Raja-Raja Melayu memiliki kekuasaan untuk menjaga isu-isu agama termasuklah hak esklusif penggunaan nama Allah untuk agama Islam.

Perdebatan berkenaan dengan penggunaan nama Allah oleh agama lain mengundang dua pandangan berbeza di kalangan umat Islam samada di kalangan ahli agama, mahupun masyarakat awam.

Terdapat golongan memandang nama ‘Allah’ sememangnya digunakan oleh al-Quran untuk menceritakan bagaimana kepercayaan umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, dalam surah Luqman, ayat 25. Allah SWT bermaksud:

Sekiranya kamu bertanya mereka (orang-orang kafir), siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah. Katakan (wahai Muhammad): Segala puji bagi Allah. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui.



Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat 61, Allah SWT berfirman bermaksud:

Dan sekiranya kamu bertanya mereka siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi dan yang mengaturkan matahari dan bulan, nescaya mereka mengatakan Allah. Justeru kenapakan mereka berpaling (dari) mentauhidkan Allah?


Golongan ini mengatakan bahawa al-Quran sendiri menyebut bahawa masyarakat bukan Islam menggunakan istilah ‘Allah’ untuk tuhan.

Pada saya, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dalam memperbahaskan isu penggunaan nama Allah.

Pertamanya,

kitab-kitab agama-agama langit terdahulu tidak diturunkan dalam bahasa Arab, justeru tidak timbul langsung penggunaan istilah ‘Allah’ untuk agama-agama langit seperti ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Al-Quran kemudiannya menjelaskan bahawa konsep tauhid agama tersebut yang asal ialah kepercayaan kepada Allah SWT walaupun telah diselewengkan oleh para pendeta dan paderi. Hakikat bahawa kitab-kitab Yahudi dan Kristian bukan berbahasa Arab iaitu taurat dan injil (bible), keduanya tidak menggunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk tuhan mereka. Sebaliknya Islam tidak pernah menggunakan istilah yang mereka gunakan terhadap Allah sebagai nama kepada tuhan di dalam ajaran Islam.

Keduanya,

ayat-ayat yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Contohnya, ayat 23 dan 24 Surah Luqman menceritakan orang-orang yang kufur terhadap Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan azab yang pedih. Justeru, di kalangan mereka yang kufur (menyembah selain dari Allah SWT), jauh di sudut hati mereka mengakui adanya tuhan yang esa yang menjadikan langit dan bumi. Ini tidak menandakan orang-orang kafir menggunakan lafaz Allah dan menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat sebelumnya menceritakan rahmat Allah.

Sekiranya ditanya kepada orang-orang kafir siapakah tuhan mereka, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Namun mereka tetap berpaling. Iaitu mereka masih berpaling dengan tidak meyembah Allah SWT

Justeru, ayat ini tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tuhan mereka ialah Allah SWT.

Ketiganya,

kemungkinan ada pandangan mengatakan ‘orang-orang Arab Jahiliyah’ menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada ‘tuhan’. Benarkah begitu? Sebaliknya orang-orang Arab sebelumnya banyak menggunakan perkataan ‘ilah’ untuk merujuk kepada tuhan, contohnya ilah latta dan ilah al-uzza.

Sebaliknya, al-Quran datang menggunakan perkataan ‘Allah’ dan bukan perkataan ‘ilah’ bersama penafian Allah itu mempunyai anak, dan penafian Dia mempunya pembantu yang terdiri dari ilah-ilah yang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 91 yang bermaksud:


Dan tidaklah Allah mempunyai anak, dan tidaklah bersamanya tuhan yang lain (sebagai pembantu). Oleh itu, sekiranya setiap tuhan memutuskan keputusannya sendiri, nescaya sesetengahnya di atas sesetengah yang lain (menguasai yang lain), mahasuci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.



Keempatnya, umat Islam perlu mempertahankan penggunaan nama ‘Allah’ hanya untuk orang-orang Islam kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Antaranya penggunaan perkataan ‘Allah’ telah melalui proses penyucian dari segala kesyirikan yang muncul dari zaman selepas nabi-nabi sebelumnya sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai tuhan orang-orang Islam. Sila lihat kamus-kamus moden bagi membuktikan perkara ini. Justeru itu, membenarkan penggunaan istilah itu kepada bukan Islam adalah satu tindakan ke belakang untuk kembali ke zaman penggunaan nama Allah yang dipenuhi kesyirikan. Sekaligus, ia mengenepikan usaha al-Quran yang berulang kali menafikan sifat-sifat kesyirikan (mempunyai anak dan pembantu-pembantu) yang ada pada zat Allah SWT.

ii. Berpegang pada pandangan bahawa dalam al-Quran menyebut orang-orang kafir menggunakan penggunaan nama Allah, adalah pandangan yang cetek. Tidakkah mereka membaca bersama bahawa al-Quran berulang-kali mensucikan nama ‘Allah’ dari bersifat dengan sifat kelemahan.

iii. Kalau benarpun, ada penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam, ia adalah nama umum, yang kemudiannya menjadi nama khusus untuk tuhan orang-orang Islam setelah melalui proses mensucikan nama Allah SWT dari segala sekutu yang tidak layak untuknya.

Semoga membantu kita memahami kepentingan isu ini. Untuk tidak mengulang perbahasan lanjut, saya suka juga merujuk kepada artikel di bawah yang boleh dijadikan rujukan dalam isu ini.

Sekian, wallahu a’lam.

Dr Asmadi
4 Mac 2009


Artikel 2

Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama

Isu Herald Tribune telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak awal tahun ini. Setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah oleh surat khabar tersebut, Dewan Ulama Pas (Harakah, 1 Januari 2008) menyatakan Islam tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimat Allah bagi Tuhan mereka. Sebagai reaksi saya juga telah membahas isu ini dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web khairaummah. com pada 20 Januari 2008 dengan harapan ia dapat membantu umat Islam di negara ini memahami persoalan yang sebenar.

Namun isu ini ternyata menjadi hangat kembali apabila Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Qur'an pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Mufti juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya. Saya terpanggil untuk memberi tanggapan kerana hal ini akan mengundang kekeliruan jika tidak diperjelaskan dengan tuntas.

Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris. Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya:

"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4).

Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.

Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun. Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam. Kerana mereka merasa telah 'berserah diri' kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.

Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan. Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab. Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.

Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam. Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian. Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain.

Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain. Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting.

Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain. Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam. Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.

Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam. Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.

Tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam.

Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam. Sebarang tindakan meng-'import' nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah. Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

*Penulis adalah Felo Penyelidik ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM.

Sumber : Dr Asmadi Mohamed Naim

Jumaat, 1 Januari 2010

Teknik Menggaji Bibik


Merapatkan jurang budaya di antara dua benua dan persehaman antara dua darjat adalah suatu tugas yang amat sukar. Namun toleransi dan persefahaman mampu meredakan tegangan. Tips-tips di bawah mungkin boleh membantu anda bagi memahami pembantu dan mengurangkan jurang persefahaman terutama dalam tempoh penyesuaian di tahun pertama.


"Ya Allah, jauhkan kami daripada majikan yang kejam kepada pembantu seperti menyisihkan pembantu kerana sombong, kikir dalam hal kebajikan dan makan minum, dan mengkhianati pembantu dalam apa jua bentuk. Jauhkan kami daripada pembantu yang berniat jahat dan tidak ikhlas untuk bekerja. Berikankan kepada kedua mereka keserasian dan keselesaan hidup. Hindarkan kami daripada mana-mana pihak yang khianat dan mengkhianati. Lapangkan dada semua pihak agar memudahkan segala urusan demi mencapai keredhaanMu. Amin"


1) Benarkan pembantu menghubungi keluarga di Indonesia apabila tiba memulakan kerja dirumah majikan. Kod panggilan murah Celcom 1310062xxxxxx Maxis 1320062xxxx. Digi 0062... Biasanya hp bermula dengan 8xxx . jika nombor yang diberikan bermula 08xx, abaikan 0. Contoh : 081375869008 ditukar kepada 132006281375869008 . Kod Indonesia ialah 0062 jika menggunakan Ring-Ring Card.

2) Pastikan makanan ruji (nasi) yang mencukupi untuk pembantu. Majikan selalu mengharapkan pembantu membuat seperti rumah sendiri. Sebaliknya pembantu biasanya segan untuk makan apa lagi dengan kehadiran majikan. Bertanyalah sekiranya pembantu belum makan dan suruhlah mereka makan dan rehat walaupun kadang-kadang mereka segan.

3) Pastikan rehat dan tidur yang mencukupi untuk pembantu. Pembantu biasanya segan untuk berehat dengan kehadiran majikan.Waktu bekerja yang lazim 5.30 am hingga 10.00 pm. Rehat sewajarnya dalam tempoh itu.

4) Cuti sehari seminggu seperti peraturan imigresen boleh diganti dengan bayaran ganjaran sewajarnya oleh majikan seperti pemberian bonus pada akhir tahun atau cuti bergaji penuh pada akhir tahun. (misalnya pembantu balik bercuti awal sebulan daripada tamat kontrak).

5) Majikan sebaiknya jangan membawa masalah dan tekanan ditempat kerja ke rumah sehingga bertindak kasar dengan pembantu kerana masalah di tempat kerja.

6) Pembantu adalah manusia biasa yang bersosial. Jangan menyisihkan pembantu dan anggap mereka sebahagian keluarga yang harmoni. Jika membeli jajan, jangan hanya dibeli untuk kita sekeluarga sahaja. Beri mereka makan apa yang kita makan. Jangan sampai kita kenyang mereka lapar, kita gembira mereka bersedih, kita makan mereka lihat sahaja. Contohi Rasullulah SAW melayani hamba abdi baginda.

7) Jangan mudah menengking dan meninggikan suara jika pembantu membuat kesalahan. Pembantu mungkin sensitif tetapi memendam rasa. Mereka manusia biasa yang ada perasaan dan perlu dihormati sebagai pekerja. Ajari dan teguri secara berhemah.

8) Selalu bertanya keperluan asas mereka seperti perubatan, ubat dan berus gigi, sabun, tuala wanita dan lain-lain. Mereka mungkin segan untuk memberitahu majikan. Jangan sampai sehingga mereka mencuri guna barang majikan. Perbelanjaan keperluan asas, perubatan dan urusan permit mereka adalah tanggunggan majikan.

9) Pastikan pembantu tidak terlalu bebas. Pantau pergaulan sesama mereka mungkin mereka selalu bercakap perkara buruk tentang majikan dan membanding-banding. Tidak digalakkan pembantu memiliki handphone kecuali dirasakan sangat perlu. Awasi penggunaan dan bil telefon rumah anda.

10) Awasi pembantu sekiranya terdapat pekerja Indonesia yang berhampiran biasanya pekerja kontrak. Pembantu boleh cepat terpengaruh dengan pujukan lelaki. Jangan mudah percaya jika pembantu mungkin menyatakan mereka adalah saudara terdekat.

11) Awasi jika ada sindiket yang mendekati pembantu menawarkan pendapatan yang lumayan, memujuk pembantu melarikan diri.

12) Keinginan untuk bersosial dan seks adalah naluri biasa manusia, namun pantau agar ianya berada di landasan yang dibenarkan syarak. Jangan sampai tindakan mereka melampaui batas seperti bergaul atau berkhalwat dengan bukan muhrim.

13) Jangan terlalu percaya kepada pernyataan pembantu rumah. Pembantu mungkin tidak bercakap benar demi menyembunyikan kesilapan dan kelemahan kerana mungkin takut kepada majikan.

14) Jangan menimbulkan kesangsian yang sembarangan kepada pembantu kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan untuk pembantu bertugas seterusnya. Sediakan bukti yang kukuh jika terdapat kes-kes kehilangan barang atau kes-kes lain.

15) Simpan passport dan buku bank pembantu ditempat yang selamat jangan sampai diambil oleh mereka. Passport jatuh ke tangan pembantu adalah peluang untuk berlakunya kes lari.

16) Majikan perlu membuka akaun bank, disarankan nama bersama majikan dan salah satu untuk transaksi. Tunjukkan resit kemasukan duit pada setiap bulan.

17) Jika pembantu menyatakan keinginan untuk pulang ke Indonesia kerana sebab-sebab yang dinyatakan, awasi, mungkin dia mempunyai masalah lain dengan majikan dan tidak akan kembali lagi.

18) Jika perlu pegang gaji pembantu sekitar 3 bulan gaji untuk mengelakkan kes-kes lari. Kadang-kadang pembantu memerlukan pinjaman daripada majikan untuk dihantar ke Indonesia, bersederhanalah dalam menghulurkan pinjaman tersebut.

19) Kebanyakan pembantu adalah daripada golongan miskin dan perantau mencari rezeki yang halal. Berlebih kuranglah dalam urusan kewangan dengan mereka, jangan terlalu berkira, semoga kita dimurahkan rezeki oleh Allah. Anggap yang kita terlebih beri sebagai sedekah atau sebahagian zakat.

20) Pembantu anda adalah manusia yang unik sifat-sifat dan kebolehan masing-masing. Elakkan membanding-bandingkankan dengan pembantu sebelumnya atau pembantu orang lain yang lebih baik. Jangan terlalu memikirkan sikap buruk pembantu sebaliknya hargai sikap baik mereka dan manafaat yang kita perolehi. Terlalu memikirkan dan memperhatikan kelemahan tanpa memperbetulkannya hanya akan menambahkan masalah rumahtangga.

Pembantu adalah asset anda. Uruskan mereka dengan baik dan kita memperolehi pelbagai manafaat daripadanya. Sekiranya kita tidak menguruskan dengan baik tidak mustahil kita akan kehilangannya.

Beristikarahkah semasa membuat pilihan sepertimana maksud al-Hadith. ”….Sesungguhnya tidak akan menyesal orang yang beristikarah….”.

Jika mendapat kesenangan atau ditimpa kesusahan ingat maksud al-Hadith “Aku mengkagumi orang mukmin. Jika dikurniakan nikmat dia memuji Allah dan bersyukur. Jika dia ditimpa kesusahan, dia memuji Allah dan bersabar…..”

Tiada beza darjat pembantu dan majikan. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa. Semua ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Ianya mungkin adalah berdasarkan pengalaman atau pengamatan semata-mata. Majikanlah orang yang paling sesuai menilai bagaimana cara terbaik menangani pembantu rumah masing-masing.

Wallahua’lam.

Duit sikit tapi nak bisness..


Apakah yang dinamakan Bootstrap?

Bagi sebilangan dari anda sudah sedia maklum akan maksud bootstrap dalam perniagaan. Bootstrap adalah modal kecil-kecilan dari simpanan atau wang sendiri tanpa meminjam dari sesiapa mahu pun institusi kewangan lain. Ramai dari kalangan kita ingin memulakan perniagaan tetapi sering mengeluh dan merungut.. “Alamak nak berniaga modal pulak takde.. mana nak cekau nih? Macam mana nak buat pinjaman dari bank ye?” Akhirnya hasrat ingin berniaga turut terkubur bersama niat kejayaan..

Terdapat banyak cara untuk kita memulakan perniagaan tanpa membuat pinjaman. (Sesekali jangan terlibat dengan ceti haram.. Namanya pun dah ada haram, so.. jangan buat pasal.. ) Banyak idea dapat dibuat malah modal perniagaan yang hanya bermula kurang dari RM100 pun ada. Tidak semestinya modal besar keuntungan pun besar. Dan tidak semestinya modal kecil keuntungan pun turut kecil. Yang penting kita bermula dengan jalan yang selamat. Saya kalau nak cerita pasal modal besar, kecil atau tak payah langsung ni agak panjang jika ingin di muatkan ke dalam blog ini. Yang perlu untuk kita buat adalah mencari idea dan banyakkan bertanya ke atau membaca..

p/s : Alhamdulillah, saya sendiri memulakan perniagaan pun tidak pernah menggunakan modal dari pinjaman mana-mana pihak. Modal saya hanyalah dari wang yang saya simpan dan memulakan bisnes dengan modal yang sangat kecil.

Berazam melaksana Azam-Azam yang lalu




2010 Salam sejahtera dan salam ceria di tahun baru yang hebat!

"Kullu Am antum bilkhair

wa kullu sana antum toiyyibun"

Tajuk berkaitan adalah menjadi tatapan semua pihak disamping memikiri apa lagi nak diazam..apa lagi nak ditekadkan...

Pasti ada diantara kita masih tersilap untuk menulis tahun kerana sudah terbiasa menulis angka 2009. Tetapi adakah anda perasan, masih ramai diantara kita yang masih terbiasa dengan perangai, tabiat atau sikap yang sama walau telah bertekad untuk berubah atau membuat azam baru setiap tahun?

Perkara ini juga telah dipengaruhi minda separa sedar kita kerana apa? Kerana kita berazam setiap tahun tetapi tiada tindakan dan sikap yang bersungguh-sungguh untuk mengubahnya kerana hanya melafazkan hanya di bibir sahaja.

Jadi secara tidak disedari kita akan melakukan perkara yang biasa sahaja kita lakukan setiap tahun. Ada beberapa tips untuk anda tidak terlepas dari melakukan azam anda. Lihat dibawah ini:

1. Tulis didalam diary anda ( belilah dairi ) berkenaan apa yang anda inginkan untuk perubahan pada tahun ini. Kalau takde lagi pi beli daaa..

2. Tulis di atas sekeping kertas. Tulislah dengan perkataan yang besar. Kalau boleh tulis dengan Magic Pen yang berwarna terang dan jelas. Kerana, kita akan mudah nampak dan mudah ingat jika warna yang kita gunakan itu menarik perhatian kita. Tampalkan azam atau matlamat kita itu pada tempat yang sering kita kunjungi dalam rumah kita (atau pejabat kalau dibenarkanlah). Tuliskan dengan lebih spesifik pada waktu bila matlamat itu akan tercapai.

3. Memberitahu rakan baik anda yang boleh dipercayai berkenaan azam atau matlamat anda yang anda ingin lakukan. Cara ini akan membuatkan anda lebih bersungguh-sungguh untuk melakukannya kerana anda telah memberitahu orang lain.. “Kalu tak buat malu aku..”

4. Positifkan minda anda, bertindak dan buat rancangan yang khusus untuk mendapatkannya.

Sesungguhnya dah banyak azam dan tekad bersarang dalam kekotak kehidupan kita NAMUN semua kurang terlaksana so saya fikir pada tahun ini saya akan menglistkan semua azam-azam yang lalu dan TAHUN 2010 ini adalah TAHUN nak praktikkan semua nya Insyallah

Jadi itulah sahaja antara tips yang sempat saya tuliskan untuk permulaan tahun yang hebat ini.

Harap ianya dapat membantu. :)

Artikel asal

http://h2jbiz.com/blog/