Khamis, 31 Disember 2009

JOM sertai Islamic NGOS's -JAMIYAH




Sempena kedatangan tahun baru, ramai yang berazam dengan azam yang baru walaupun azam tahun lepas pun tak terlaksanan tetapi kemahuan mahu melaksanakan yang baik dalam hidup adalah sifat terpuji. teruskan..

Penulis ingin mengajak warga pembaca mari kita menambah suatu perkara dalam putaran hidup kita dengan menyertai dan bersama jamaah islam melalui badan bukan kerajaan Islam yang ada dimana-mana di Malaysia, Nama-nama seperti Perkim,Abim, Jim, Jamiyah serta dimaklumkan bahwa di Selangor ada 45 Ngos Islam yang berdaftar dan di wilayah pula ada 100 pertubuhan Islam..

Pada kali ini penulis ingin mewarwarkan kepada khalayak kepada Persekutuan Sruan Islam Selangor dan Wilayah ( Jamiyah) berikut laman web wwww.jamiyah.org

JAM'IYAH ditubuhkan hasil daripada seruan seorang ulama yang berasal dari Meerut, India iaitu Tuan Maulana Shah Muhammad Aleem Siddiq AI-Qadell dalam tahun 1931 di Singapura. Setelah itu JAM'IYAH Singapura telah menubuhkan cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Malaka, Perak dan Selangor.

JAM'IYAH Selangor telah ditubuhkan pada 24 Januari 1949 dalam satu pertemuan di antara beberapa orang tokoh agama di Masjid Jamek Bandaraya, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Kemudian didaftarkan secara rasmi pada 12 Jun 1950. JAM'IYAH Selangor ini kekal sebagai cawangan bagi JAM'IYAH Singapura hinggalah pada tahun 1965 apabila Singapura keluar dari Malaysia.

Selapas perpisahan ini JAM'IYAH Selangor telah bergerak sendiri dan tiada lagi hubungan dengan JAM'IYAH Singapura. Apablla Wilayah Persekutuan ditubuhkan, JAM'IYAH Selangor dikenali pula sebagai JAM'IYAH DAKWAH ISLAMIAH Selangor Dan Wilayah Persekutuan atau pun Persekutuan Seruan Islam (JAM'IYAH) Selangor dan Wilayah Persekutuan.

JAM?IYAH telah dianugerahkan sebagai pertubuhan yang tertua dan aktif sejak tahun 1950 oleh kerajaan Malaysia melalui Pendaftar Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri pada 12 Januri 2002.

Rabu, 30 Disember 2009

Hijrah VS Masihi- anda pilih mana..?


2 tarikh yang masyhur dan dikenali di kalangan masyarakat. Walaupun mempunyai sejarah berbeza namun keduanya merupakan tarikh yang digunapakai dan kadangkala digabungkan dalam satu kalendar.

Mengikut sejarah Tahun Hijrah dikira berdasarkan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah...manakala tahun Masihi di kira mengikut kelahiran Nabi Isa a.s

Tahun Hijrah secara khusus hanya terkenal dalam masyarakat dan dunia Islam. Ia dikaitkan secara langsung dengan Islam. Manakala awal tahunnya pula dijadikan antara hari-hari kebesaran Islam.

Tahun Masihi pula memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana seluruh dunia menjadikannya tarikh utama di dalam kalendar mereka. Awal tahunnya dijadikan hari besar dan dirayakan, termasuk lah rakyaat Malaysia..

Di sini timbul satu persoalan tentang sesetengah masyarakat Islam yang turut merayakan awal Tahun Masihi dengan sambutan besar-besaran sebagaimana orang bukan Islam merayakannya.

Paling merisaukan, orang-orang Islam lebih ‘ghairah’ menyambut Tahun Masihi melebihi orang-orang bukan Islam.

Ingatkah kita suatu masa dahulu, kita pernah ber‘JANUARI’dengan mengadakan berbagai acara kesukaan, seperti lumba perahu.

Sekarang sudah tiada pesta seperti itu, tetapi ada pesta-pesta lain, seperti konsert hiburan dan pertunjukkan bungaapi dan tak kurang juga acara mabuk-mabuk dan aktivit merempit di kalangan mat rempit terutama pada malam menyambutnya.

Menyambut awal tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang Islam. Ia juga bukan salah satu dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal Tahun Hijrah, hari Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, Isra’ dan Mi‘raj,Puasa Ramadhan, Nuzul al-Qur‘an, Hari Raya Idil Fitri dan Hari Raya Qurban.

Awal tahun baru Masihi hanya perayaan yang sering dirayakan oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negara negara lain seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam samada secara mereka sedari atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadi satu
budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila.

Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi dalam masyarakat Islam.

Bermacam-macam acara diadakan untuk menghidup dan memeriahkan kedatangan tahun baru itu.

Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara, sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik 12 malam

Apabila jarum jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorakkan orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma bagaikan meraikan suatu kemenangan yang besar.

Kenapa tidak ketibaan awal tahun hijrah di sambut dengan penuh penantian spt menanti detik 12 malam setiap januari.. dan memeriahkannya dengan pelbagai acara yang berunsur keagamaan..

FIKIR-FIKIRKAN LAH..

Selasa, 29 Disember 2009

Kuliah Tazkirah 2010/1431 Hijrah


(Khas buat anggota MSN yang telah menjayakan MPPQ 2009 yang lalu… semoga ianya memberikan bekalan meluaskan size kubur kita nanti..)


الحَمْدُ ِللهِِ الَّذِيْ هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا الله. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Marilah kita jadikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah yang menjadi petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat.

Kita mesti yakin bahwa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala macam penyakit mahupun rohani atau jasmani yang sedang menimpa masyarakat manusia hari ini.

satu tajuk yang penting iaitu : " TADABBUR AL-QURAN ". bahwa dengan mentadabbur al-quran memahami dan menghayati isi kandungan Al-quran sahaja segala bentuk permasalahan ummah akan dapat diselesaikan..
Individu yang terdidik melalui penghayatan Al-Quran sahajalah akan memberi kesan positif kepada pembinaan diri ,keluarga seterusnya masyarakat keseluruhannya, seterusnya memacu pembangunan negara yang seimbang dari sudut rohani dan pembangunan material.
Hidup dalam Tadabbur Al-Quran bererti berinteraksi dengan Al-Quran
Sama ada secara tilawah (membaca), tadabbur (memahami), hifzh
(menghafalkan), tanfiidzh (mengamalkan), ta’liim (mengajarkan) dan
tahkiim (menjadikannya sebagai pedoman dan rujukan hukum).
Tadabbur Al-Quran juga bermakna meneliti lafazh Al-Quran untuk sampai pada makna Al-Quran. Intinya bahwa tadabbur yaitu memahami Al-Qur’an, mendalami, memikirkan dan memperhatikan agar dapat diamalkan. Inilah tujuan inti dari diturunkan Al-Quran, yaitu untuk difahami isinya kemudian diamalkan. Sebab jika orang membaca sesuatu dan tidak memahami maknanya maka tujuan inti dari apa yang dibaca tidak sampai. Orang yang berilmu dan memiliki peradaban adalah orang yang memahami apa yang dibaca.
Berkata Ibnu Taimiyah, "Tradisi yang terjadi adalah menolak, jika suatu kaum membaca kitab pada disiplin ilmu tertentu, seperti kedoktoran atau matematik kemudian tidak memahaminya. Bagaimana dengan kalam Allah Ta’ala yang merupakan kunci penjagaan, keselamatan, kebahagiaan dan pedoman pada agama dan dunia mereka?"
Kepentingan membaca dan mempelajari seterusnya membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan. Kegemilangan ummat Islam pada kesuatu masa dahulu adalah kerana mereka berpegang teguh dan menghayati al-Quran. Ummat Islam pernah kejayaan demi kejayaan dan mampu mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya.
Sangat disayangkan jika mu’jizat terakhir yang membawa keselamatan dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat tidak dapat difahami dan dini’mati oleh majoriti manusia. Tetapi inilah realiti yang terjadi, majoriti manusia tidak beriman pada Al-Quran dan kebanyakan umat muslim tidak mengetahui isinya

Al-Quran diturunkan bertujuan untuk memandu manusia ke jalan yang benar, memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, menjadi penawar, peringatan dan cahaya yang menjadi pedoman dan panduan hidup.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Yunus ayat 57 yang berbunyi :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،



Maksudnya : " Wahai ummat manusia ! sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakat batin yang ada didalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman ".

Al-Quran adalah kitab suci samawi yang diturunkan oleh Allah SWt adalah yang terakhir selepas kitab Taurat,zabur dan injil. Ini pusaka warisan peninggalan Rasullulah saw yang merupakan mukjizat terbesar baginda.

Sebenarnya banyak keistimewaan yang disediakan oleh Allah kepada mereka yang mentadabbur kan Al-Quran Keistimewaan ini diharapkan antaranya :-

1. Pemberi Syafaat pada Hari Qiamat

marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

ِاقْرَوُوا القُرْءآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ.

Maksudnya : " Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ".
(Riwayat Muslimi )






Kita sebagai ummat Islam sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Mereka yang membaca al-Quran, mendengar malah melihat al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah s.w.t.. Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

مَنْ قَرَأَ حَرفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنةٌ، والحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لآ أَقُوْلُ ( ألم ) حَرْفٌ، وَلَكِنَّ أَلِفٌ حَرْفٌ وَ لاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ.

( Riwayat al-Tirmizi )

Maksud hadis tersebut : " Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf ".
( Hadis riwayat Muslim )

2. Jenis Manusia yang terbaik.
Dalam proses mencari identiti diri , penghayatan Al-Quran akan menjadikan manusia ini manusia terbaik pada perpektif Allah.
Rasulullah saw bersabda mafhumnya : .
"Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan
yang mengajarkannya"
3. Bersama para Malaikat Allah
Orang yang mentadabburkan Al-Quran akan berada dalam majlis malaikat .
Rasullullah saw bersabda ” Sesiapa yang membaca Al-quran dan mahir dengannya,dia akan bersama-sama dengan golongan para malaikat Allah...”
(HR Bukhari dan Muslim)
4. Mendapat Rahmat dan Penyembuhan
Ini seperti difrmankan Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 82 yang berbunyi


Maksudnya : " Dan kami turunkan al-Quran sesuatu yang boleh menyembuhkan penyakit ( hati ) dan menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim ( disebabkan keingkaran mereka ) melainkan kerugian jua " .

( Surah al-Isra' ayat : 82 )
Tazkirah hari ini bolehlah disimpulkan :

1. Sebagai umat Islam kita wajar meneruskan lagi suasana kemeriahan kehidupan dengan menghayati Al-Quran dan membudayakannya dalam kehidupan. Bahkan Rumah yang tidakdibacakan al-Quran bagaikan tanah kubur yang sunyi sepi dan akan terhindar dari rahmat Allah s.w.t.

2. Ibu bapa adalah contoh terbaik bagi anak-anak. Mereka hendaklah memulakan amalan membaca al-Quran dan menghayatinya dan sentiasa memberi galakkan kepada ahli keluarga mereka khasnya anak-anak mereka . Dimulai dengan pengajian Al-quran daripada tilawah dan memahami tafsirnya dan pengamalan seharian.

3. Membaca al-Quran bukan sahaja merupakan suatu ibadah, bahkan dalam masa yang sama ia juga mampu menjadi penawar kepada segala penyakit, seperti penyakit jiwa, emosi, kecelaruan fikiran, penyakit social termasuklah penyakit hati.

Isnin, 28 Disember 2009

Untukmu Belia- 1431h dalam dakapanmu


Remaja, hijrah dan pengorbanan

Persoalannya, apakah remaja hari ini benar-benar menghayati semangat pengorbanan dan konsep hijrah? Adakah ia cukup dengan meraikan di surau-surau dan masjid-masjid? Malangnya apabila tahun baru masihi menjelang, ia disambut dengan pesta, hiburan melampau dan tidak bermoral.

Sambutan Maal Hijrah bagi umat Islam merupakan titik permulaan melakukan yang terbaik dan sewajarnya diadun dengan khasiat iman dan takwa yang tinggi.

Tanpa melibatkan iman dan takwa, seseorang Muslim itu tidak mampu mengharungi kemelut dunia yang makin mencabar apatah lagi Islam di asak dari pelbagai sudut oleh musuhnya yang sentiasa menanti saat-saat kelalaian.

Tidak dinafikan, remaja memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Potensi remaja perlu dibangunkan secara holistik dan sempurna supaya dapat meneraju negara dengan acuan dan model sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada anasir-anasir dan pengaruh dari luar.

Kita melihat umat Islam di sana-sini terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran.

Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat.

Oleh itu setiap remaja Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari segala sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat.

Ini bermakna remaja harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan. Remaja mesti bersedia mengorbankan tabiat-tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur tanpa arah serta tidak berfikiran terbuka.

Remaja juga harus bersedia untuk menerima pandangan, berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran diri, memantapkan keterampilan diri supaya lebih maju dan dalam masa yang sama berpegang teguh kepada syariat Islam.

Remaja Islam tidak kekurangan contoh dan tauladan dalam membangunkan umat. Tamadun Islam yang lampau boleh dijadikan titik refleksi tentang pencapaian umat Islam pada hari ini.

Sememangnya kita wajar berasa iri dengan kejayaan Barat dan orang bukan Islam dalam pelbagai bidang pada masa kini, tetapi dalam masa yang sama kita juga harus berani mendepani cabaran tersebut dan berusaha untuk merubah keadaan umat Islam.

Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, dimana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.

Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil yang terbaik.

Perlu difahami bahawa hijrah merupakan syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.

Oleh yang demikian, setiap remaja Muslim perlu memiliki semangat untuk berubah dan berjaya dalam segenap ruang kehidupan, apatah lagi melihat kepada cabaran globalisasi yang semakin menghimpit dan arus kemodenan yang semakin menghakis nilai-nilai keimanan dan ketakwaan.

Kesimpulan

Hijrah adalah suatu bentuk perubahan yang memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan yang ikhlas, proses penghijrahan sukar dilakukan.

Pengorbanan pula menuntut semangat jihad dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Justeru, perubahan dan pengorbanan adalah suatu tuntutan hidup, iaitu berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.

Menuju Perubahan

Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, "Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya".

Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.

Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait.

Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitab Al-Hikam oleh Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut.

Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).

Beliau berkata: "Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.

"Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan".

Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, "Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)"

Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita.

Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.

Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.

Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna 'selain' sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.

Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.

Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.

Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu 'Atoillah, Sheikh Ibnu 'Ajibah ada menyebut bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga.

Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini

Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:

lDari negeri maksiat ke negeri taat.

lDari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.

lDari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).

Sheikh Ibnu 'Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.

Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.

Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.

Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah.

Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.

l(Rujukan utama: kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)

Ahad, 27 Disember 2009

Hipokrit

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa


SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -



JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Aurat wanita apa sudah jadi?
Wanita, aurat dan Kerjaya



Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.



2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)



3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.



4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Selamat BEPRUASA SUNAT HARI TASYU'A DAN ASYURA.! (9 dan 10 Muharram iaitu pada 26 dan 27 Disember 2009 )

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Tragedi 25 DIS

Tragedi Emosi Krismas




“Ustaz, apa hukumnya saya beli patung Santa Claus?” seorang pelajar bertanya selepas saya menghabiskan kuliah Hadith 40 malam itu.

Clinical Science Institute, NUI Galway, makmur dengan kehadiran pelajar Perubatan yang suka belajar agama.

“Err, kenapa awak nak beli patung tu?” saya menyoal kembali.

“Alaa, cutelah ustaz. Rasa sayang kalau tak beli. Murah-murah pula tu” jawab beliau.


“Emm, saya rasa kita letak tepi sekejap bab hukum tu. Cuma bayangkan begini. Katakanlah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang ziarah ke rumah awak. Masa baginda duduk di ruang tamu, awak nak letak tak patung Santa Claus tu di situ? Atau awak nak sembunyikan?” saya mencuba ‘rawatan’ alternatif.

Pelajar yang bertanya, dan rakan-rakan yang lain ketawa.

“Hah, nak beli lagi ke?” sergah Masri kepada pelajar tersebut.

“Daripada al-Nawwas bin Sam’aan Radiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Ya, tak usahlah jauh sangat mencari hukum. Panduan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu pun sudah memadai. Kalau sesuatu yang mahu kita lakukan itu mendatangkan resah kepada diri, dan kalau boleh jangan ada sesiapa pun yang tahu, Insya Allah, DOSA jualah namanya perbuatan itu.

DISEMBER DI BARAT



Sepi di pagi Krismas di Belfast, boleh membunuh insan yang hidup dalam putus asa

Berada di Ireland pada bulan Disember, menjadikan kita keliru.

Sambutan Krismas bukan sebarangan. Kalau di Belfast, Galway dan Dublin, seawal 1 Disember, jalan-jalan utama sudah cantik dihias. Jualan murah di semua pasar raya. Santa Claus dan rusa-rusanya berada di mana-mana. Siapa yang tidak teruja?

Semuanya Krismas. Santa Claus, hadiah, membeli belah dan kad kredit!

MERRY KUFUR!

Tetapi saya tidak rasa ada iman di sebalik perayaan Krismas. Tidak ada unsur-unsur yang mengajak penganut Kristian, baik Katholik mahu pun Protestan, untuk mendekatkan diri kepada ‘tuhan’ mereka, kepada Jesus Christ. Krismas adalah pesta, kegembiraan dan keseronokan, serta kekecewaan dan kemurungan untuk homeless community.

Erti Krismas bagi orang Kristian, adalah terlalu jauh dari Tuhan, Isa dan Bible. Unsur pesta dan kewajipan berkumpul bersama keluarga, mendominasi suasana yang menyelubungi Krismas.

Kerana itulah, Sheikh Abd Rahim Green semasa berceramah di Masjid Dublin, kecewa dengan sikap umat Islam yang sibuk mahu mengucapkan Happy Christmas kepada orang Kristian.

“Kamu tahu apa ertinya ia kepada kami, para revert yang dahulu Kristian kini Islam? Apabila kamu mengucapkan Happy Christmas kepada mereka, yang kami dengar hanyalah Happy Kufur, Happy Syirik!” kata beliau.

TERBALIK

“Hairan ana, kalau kat Malaysia orang muda penuh berkumpul di stesyen bas dan keretapi untuk balik kampung. Tapi di sini, orang tua-tua pula yang penuh di stesyen untuk ke rumah anak-anak” saya mengadu kepada Nasreel, rakan serumah di London.

Kaget dengan pemandangan orang tua-tua beratur menaiki keretapi di stesyen Paddington menuju ke barat England.

“Biasa la ustaz. Londoners la katakan!” jawabnya sambil tersenyum.

Pemandangan di Heathrow juga tidak banyak berbeza. Ibu bapa mendamba diri ke rumah anak-anak.

KESYAHDUAN BUKAN KERANA AGAMA

Krismas juga menjadi hari derita bagi mereka yang tidak berkeluarga. Kadang-kadang saya sedih melihat keadaan diri mereka yang merayau dan merempat di lorong-lorong Belfast. Tidur entah ke mana, makan tak tahu cerita. Kebanyakkan melepaskan masalah hidup dengan ketagihan. Ketagih arak, atau dadah, atau seks… entahlah.



Namun ramai golongan homeless yang membunuh diri di musim Kristmas. Christmas Carol yang didendangkan, seperti irama neraka yang membunuh jiwa. Mereka tiada keluarga untuk dituju. Sepi dan keseorangan menghabiskan sisa-sisa hidup yang tiada makna. Perasaan mereka mungkin seperti perasaan sesetengah kita ketika mendengar Takbir di Hari Raya. Sedih… dengan kesedihan yang tidak datang dari iman.

KRISMAS DAN RAYA

Kadang-kadang saya terfikir, nasib Krismas dan Hari Raya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya ditunggu oleh penganut agama masing-masing, tetapi bukan untuk membesarkan Tuhan. Krismas dan Hari Raya hanyalah sebuah pesta tahunan. Krismas dan Hari Raya adalah hari syahdu bukan pada muhasabah diri yang berdosa atau perpisahan dengan Ramadan yang meragut hari-hari keampunan. Krismas dan Hari Raya hanyalah hari rindu warga kota menebus dosa meninggalkan kekeluargaan dan persaudaraan selama ini.

Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.

KRISMAS DI MALAYSIA

Saya jelek melihat warga kota di KL menyibukkan diri dengan Krismas. Wajah cekodok pisang bertopi Santa. Mata kecil Timur ber’ho ho ho’ di pasar-pasar raya. Apa yang diimport ke masyarakat kita sempena Krismas, bukanlah kesedaran untuk menghayati agama, tetapi kemiskinan jati diri warga kita yang terlalu kemaruk untuk menjadi Barat.

Apabila menonton NTV7 dan 8TV, saya semakin jelek dengan gelagat ‘orang-orang urban‘ yang terdesak untuk menjadi Barat. Desperado!

Inilah hasil didikan Barat, seperti yang dimahukan oleh Thomas Babington Macaulay, pegawai pendidikan British yang merangka sistem pendidikan untuk negara-negara jajahan seperti India. Apa yang beliau mahukan ialah “Indian in blood and colour, with English in taste“.

Di Malaysia, kita ada ramai Melayu yang berdarah dan warna Melayu, Cina yang berdarah cina dan warna Cina, serta India yang berdarah India dan berwarna India, tetapi mempunyai selera pemikiran dan perasaan Barat. Golongan ini, sama ada yang mem’perang’kan rambut atau tidak, tidak pernah diterima sebagai Barat oleh Barat. Hanya mereka sahaja yang tergila-gilakan Barat. Membodohkan diri seolah-olah malu dirujuk sebagai Timur, sebagai Islam.

Malah saya fikir, keghairahan orang Malaysia hari ini untuk meninggalkan Islam dan beralih kepada agama Kristian, bukanlah kerana yakin dan penuh iman kepada syariat Bible. Tetapi gejala murtad yang berlaku adalah berpunca daripada usaha melepaskan diri dari ikatan agama, agar tidak dihukum dosa ketika menjamah arak dan zina. Mengapa? Kerana agama Kristian didakyahkan sebagai agama accomodative yang menawarkan pengampunan, yang memberikan ‘harapan’, sedangkan pelaku dosa itu, misalnya penzina, di mata Islam, adalah sasaran lontaran rejam batu dan sebatan.

Pada saya, gejala murtad dan pesta Krismas, adalah rentetan pseudo-religion dan bukannya agama sebenar. Gejala Muslim murtad adalah gelombang pemergian kelompok ini kepada pseudo-religion. Ia tidak meninggikan syiar Kristian, tetapi hanya alasan untuk bebas dari agama dan Tuhan.

Malaysia dan perangainya melahirkan hamba hiburan dan pesta. Orang-orangnya mahu memalsukan semua agama dari soal iman dan pencarian terhadap hakikat kebenaran, kepada adat resam dan budaya semata-mata, adat resam yang tiada kena mengena dengan Timur, tiada kena mengena dengan Islam.


Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Laporan akhbar METRO Ramadhan 1429 ini, mencapai kemuncak apabila anak Muslim berbangsa Melayu, berpuasa dan berbuka puasa dengan arak! [Laporan 1] [Laporan 2]

Inilah beban derita, berfikir tentang agama manusia di akhir zaman.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Meraih Berkah Seiring Azam baru

Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.

Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat. Apabila
masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat. Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.

Apabila pembangunan pun meningkat,
kemajuan menjadi pesat.
TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.

Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat.


Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.

Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.

Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat.
Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.

Yang perempuan, pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat..
Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.

Pakai pulak yang singkat-singkat...
Kadang-kadang ternampak benda ' bulat ' .

Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.

Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat .
Bila berjumpa, tangan berjabat
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.

Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat?
Kita ' bukti ' lah kita buat.

Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah
pula anak-anak yang tak cukup sifat.

Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di
merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.

Inilah dia fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negeri akhirat.
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.


Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?
Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?
Harta benda anta, dari mana anta dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera
meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.


Sebarkanlah ini kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan
sahabat handai kita agar masyarakat
kita akan menjadi sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi
duniawi malah ukhrawi.


(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa)

Sabtu, 26 Disember 2009

Jadilah Insan Hebat dan Agung _ Azam Hijrah 1431H

“Macam mana ye ustaz? Susah apabila kita minat satu bidang tetapi mak ayah desak kita ambil bidang yang lain,” keluh seorang peserta KEM HIJRI baru-baru ini.

“Memang susah. Hidup atas bayangan dan impian orang lain memang susah. Sifirnya mudah, terpaksa adalah terseksa, betul tak?” saya memetik kembali ungkapan slot NIAT di awal program.

“Saya belajar di kelas Sains. Emak dan ayah tidak habis-habis mendesak saya agar selepas SPM tahun depan ni, saya belajar bidang perubatan untuk jadi doktor” kata beliau.

“Awak tak suka jadi doktor?” saya bertanya.

Beliau menggelengkan kepala.

“Awak nak jadi apa?” saya menyoal lagi. Seperti ayat cikgu saya 25 tahun yang lalu.

“Ahli perniagaan. Saya minat bisnes!” kata pelajar tersebut.


Salah satu petanda yang kita sudah mula berhasil membina jambatan hati bersama peserta ialah apabila waktu senggang antara slot terisi dengan kehadiran mereka untuk berbincang dengan kita. Seorang demi seorang datang, mahu meluahkan masalah yang terbuku di hati. Saya sentiasa memuji-muji Allah apabila ada peserta yang datang untuk berkongsi kerana itu petanda yang baik bahawa sudah ada rasa percaya di hati peserta kepada kita.

Bukan mudah.

Jurulatih atau penceramah sering dilihat sebagai orang upahan ibu bapa atau majikan jika dalam kes pekerja. Penceramah diupah agar membasuh mereka supaya insaf dan boleh terus diarah dan dimanipulasi sekembalinya daripada kursus. Berat sungguh persepsi itu!

Maka perjuangan langkah satu setiap jurulatih atau penceramah adalah untuk meruntuhkan persepsi itu dan menggantikannya dengan rasa percaya mereka bahawa kita tidak berada di posisi correcting people, sebaliknya lebih mengusahakan connecting people.

“Pernah berbincang tentang hal ini dengan emak dan ayah?” saya bertanya.

“Susah. Baru nak cakap dah kena potong” kata beliau.

Wajahnya sugul.

Sayang sekali. Seorang anak yang bijak dan sebaik beliau, perlu sugul dengan tekanan yang hakikatnya tidak susah untuk diselesaikan jika ibu bapa membuka lebih ruang untuk pandangan anak didengari sebelum mengharapkan pandangan mereka didengar si anak.

“Pertamanya, ustaz sangat percaya dengan perbincangan. Sama ada di peringkat antara negara, kerajaan memerintah, suami isteri, ibu bapa dan anak-anak serta sesama kawan, berbincang adalah langkah penyelesaian yang sangat hebat. Kalau belum bincang, usahakan perbincangan. Tapi kalau tidak berhasil, izinkan ustaz untuk quote balik kisah Kungfu Panda yang kita analisa semalam” saya menyambung diskusi.

Beliau tersenyum.

Di dalam KEM HIJRI kali ini saya mengajak peserta menonton filem animasi Kungfu Panda daripada perspektif baru. Hampir kesemua peserta sudah menontonnya tetapi apabila diberikan ‘cara memandang’ yang baru, mereka seakan-akan baru pertama kali menontonnya.



“Po bercita-cita mahu menjadi juara Kungfu. Manakala Mr. Ping si ayahnya, mahukan Po menjadi pewaris kepada perniagaan mee istimewanya itu. Mr. Ping sentiasa teruja mahu mewariskan perniagaannya kepada Po sehingga dia hampir-hampir tidak pernah perasan akan impian Po yang amat berbeza. Menderita bukan?” saya memulakan kisah.

“Sama macam situasi saya,” kata peserta berkenaan.

Beberapa orang rakannya yang baru selesai minum teh, datang menumpang dengar.

“Tetapi Po tidak sedar, segala penderitaan emosi dan fizikal yang dialaminya akibat tekanan impian Mr. Ping sebenarnya adalah latihan dan pengalaman yang melatih beliau menjadi hebat. Sesuatu yang tidak ada di dalam silibus pengajian The Jade Castle yang ditempuh oleh Furious Five dan Tai Lung!” saya menambah.

“Maksud ustaz?” beliau sedikit kebingungan.

“Pertama sekali, kemahiran mengangkat lima mangkuk mee di sebelah tangan, bukan benda mudah. Kemudian, Furious Five tidak menjadi The Dragon Warrior kerana mereka hanyalah pelajar yang cemerlang menghabiskan silibus. Tiada kelebihan. Tai Lung pula walaupun menjadi seorang yang sangat hebat, gagal menjadi The Dragon Warrior malah gagal mengalahkan Po sebab dia tiada pengalaman sehebat Po. Apa pengalaman hebat yang Po ada?” saya menduga adik-adik yang terlopong di meja.

“Tak pastilah ustaz!” kata salah seorang peserta yang menongkat dagu semenjak tadi.

“Tai Lung sentiasa dapat apa yang dia mahu. Dia tidak mampu menerima jawapan TIDAK dalam hidupnya. Itu menjadikan dia tamak dan gopoh. Berbeza dengan Po yang lama belajar bertolak ansur dengan kehendak Mr. Ping. Dia akhirnya menjadi seorang yang lebih cekal, tabah, dan yang paling penting, TENANG!” saya menyambung.

“Dan lucu!” usik seorang adik yang kelihatan teruja dengan perkongsian kami.

“Betul. Maksud ustaz, kalau kamu nak jadi doktor, dan perjalanan kamu menjadi doktor itu lancar tanpa cabaran, kamu hanya akan jadi doktor biasa. Kalau kamu nak jadi ahli perniagaan dan perjalanan kamu untuk mencapai cita-cita itu smooth tanpa halangan, kamu hanya akan menjadi ahli perniagaan yang biasa-biasa sahaja. Tetapi kesabaran kamu menempuh dunia yang realitinya seperti ini, akan menjadikan kamu seorang yang lebih sabar dan bersyukur satu hari nanti” saya meneruskan celoteh.

“Realiti macam mana tu, ustaz?” tanya pelajar tadi.

“Dalam realiti kehidupan, kita tidak sentiasa dapat apa yang kita suka. Jadi kita kena belajar untuk suka apa yang kita dapat! Itulah kehidupan namanya,” saya menjawab.

Mereka termenung. Sepi seketika. Peserta lain sudah mula masuk semula ke dewan mengambil tempat.

“Kalau ditakdirkan kamu tetap mengambil bidang perubatan, tidak semestinya kamu tidak boleh berniaga. Kamu boleh membuka klinik selepas beberapa tahun menjadi doktor, kamu boleh menjual peralatan perubatan, kamu boleh membuka pusat Hemodialisis, dan macam-macam lagi. Malah boleh juga menjual tshirt labuh Muslimah secara online!” saya memberikan cadangan berupa win-win situation kepada beliau yang berkonflik dengan ibu bapanya.

Beliau tersenyum.

Ada rasa lega terpancar pada wajahnya.

“Dan apabila Po menjadi The Dragon Warrior serta berjaya menyelamatkan seluruh China dengan mengalahkan Tai Lung, Mr. Ping memeluknya dengan bangga dan heboh bercerita kepada orang lain bahawa si Panda Gemuk itu adalah anaknya. Penuh bangga. Maknanya, semasa Mr. Ping mahu anaknya menjadi penjual mee yang hebat, beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi orang berjaya. Cuma ia diungkapkan sebagai penjual mee. Tetapi apabila Po berjaya menjadi juara Kungfu yang terhebat, ia tetap memenuhi impian si ayah kerana setiap ayah menginginkan anaknya menjadi manusia hebat. Bukan doktor, bukan ahli perniagaan, tetapi menjadi manusia yang hebat. Betul tak?” saya mahu menghabiskan segera perbualan.

“Betul, betul, betul!” kata seorang lagi, meniru lagak Upin dan Ipin.

“Formulanya ialah?” saya mendarat ke sebuah kesimpulan.

“There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE!” jawab mereka beramai-ramai.

Kesemua mereka beredar mengambil tempat semula untuk slot yang berikut. Saya yang kekeringan tekak terus menyambung ‘ceramah’.

Demikianlah rutin seorang jurulatih.

Dia mesti bangun sebelum peserta lain bangun, dan bercakap serta berbual dan berkomunikasi tanpa henti, kemudian tidur selepas peserta lain tidur.

Rahsianya?

There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Rabu, 23 Disember 2009

wahai Ayahanda Renungilah


Minggu lalu,
ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman kemudian menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya

"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"

Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata

"kita kena kembali kepada Islam"

Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.

"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.

"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"

Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.

"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"

"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menrang sambil mengajak berfikir.

Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.

Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.

JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN

Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.

Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.

Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.

Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.

Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.

Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana,, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.

"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"

Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.

Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA

"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.

Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.

Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.

Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.

Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.

Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.

"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"

Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:

"makan tu"

"Habiskan ini!"

"Pergi mandi!"

"Cepat masuk kereta!"

"Gosok gigi!"

"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"

"Heiii, kenapa buat macam tu!"

Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.

Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.

Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.

Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.

Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahwa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh

"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"

"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"

Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.

Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.

TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA

Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.

Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :

"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"

"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"

"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut

"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.

Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.

Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.

Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.

Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.

Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.

Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.

Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.

Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.

Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.

KESIMPULAN

Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.

Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.

Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

4 Muharram 1431 H

21 Disember 2009

Selasa, 22 Disember 2009

Kisah Bijak Wang

Encik Leman* merupakan seorang ayah yang penyayang dan begitu mengambil berat tentang keluarganya. Walaupun pendapatan beliau hanya RM1,000 sebulan dengan bekerja sebagai kerani biasa, beliau masih mampu untuk menyara keluarga dan memastikan keluarag beliau sentiasa berada di dalam keadaan gembira.


Malang tidak berbau apabila isteri beliau, Puan Hamidah disahkan mengidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan juga darah tinggi. Keadaan hidup yang sederhana kini menjadi semakin tertekan dengan keadaan yang tidak disangka ini. Encik Leman perlu mengutamakan kesihatan isteri beliau dengan memastikan bekalan perubatan yang cukup demi anak-anak yang masih kecil. Dengan kos perubatan yang kian meningkat, Encik Leman terpaksa mengumpul hutang dengan membuat perbelanjaan menggunakan kad kredit demi menampung keperluan perubatan dan kehidupan harian.


Keadaan kesihatan Puan Hamidah semakin bertambah teruk menyebabkan Encik Leman terpaksa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM31,000 untuk menampung kos rawatan. Keadaan ini berlanjutan selama setahun sehinggalah keluarga Encik Leman mendapat bantuan perubatan dari kerajaan. Walaubagaimana pun, ianya telah terlambat kerana Encik Leman telah pun menanggung beban hutang yang banyak.


Buntu dengan bebanan hutang yang ditanggung, Encik Leman telah meminta bantuan daripada AKPK. Setelah menilai status hutang Encik Leman, AKPK telah bersetuju untuk membuat penstrukturan semula jumlah hutang untuk semua kad kredit Encik Leman selama 8 tahun. Disebabkan oleh sejumlah besar pendapatan Encik Leman digunakan bagi membiayai kos rawatan isteri beliau, AKPK turut berjaya mengurangkan kadar bunga kad kredit Encik Leman kepada 6% setahun, jauh berkurangan dari jumlah asalnya iaitu 18%. Memandangkan pendapatan Encik Leman yang kecil berbanding dengan jumlah tanggungan beliau, AKPK turut mengurangkan kadar pembayaran balik kepada hanya RM200 sebulan. Ini dilakukan bagi memastikan beliau dapat membuat pembayaran secara berterusan tanpa sebarang halangan untuk beliau terus menyara keluarga beliau. Dengan bantuan AKPK, Encik Leman kini sedang dalam proses menyelesaikan hutang dan dalam masa yang sama menikmati suasana hidup yang harmoni.

Isnin, 21 Disember 2009

Musim Cuti - Anda dan Wang- Fikirkan




Keadaan ekonomi sekarang merupakan waktu yang agak mencabar bagi kita;

maka,inilah waktu yang terbaik untuk kita menilai kedudukan kita. Malah, adalah lebih penting untuk kita ketahui di mana kedudukan kewangan kita dan mula meniliti ke mana wang kita dibelanjakan. Jika tidak, kesukaran yang akan kita hadapi bukan hanya untuk bertahan, malah segala matlamat masa hadapan pun mungkin tidak tercapai.

Mengira Nilai Bersih Anda

Langkah permulaan anda adalah untuk mengambil tahu Nilai Bersih anda. Ataupun, dalam bahasa yang mudah, mencari kedudukan kewangan kesuluruhan anda. Mulakanlah dengan senarai aset : harta (dan nilai pasarannya) kepunyaan anda yang boleh dijual. (Lihat Kertas kerja 1: Penyata Nilai Bersih)

Kemudian senaraikan pula liabiliti: baki-baki hutang anda dengan pihak ketiga (bank, syarikat-syarikat kewangan, pusat membeli belah, kad kredit dan sebagainya).

Tolakkan jumlah liabiliti (jumlah dari senarai liabiliti anda) dari jumlah asset (jumlah nilai senarai aset anda), dan anda akan dapati Nilai Bersih anda: inilah satu-satunya nilai yang menentukan kedudukan kewangan anda.


Jika perbezaan antara harta dan hutang anda memberi nilai yang positif, ini bermakna anda mempunyai Nilai Bersih yang positif. Sebaliknya, jika ia didapati negatif, anda sedang menanggung kerugian (“insolvent”).
Analisa Aliran Tunai Bulanan Anda

Selepas mengenalpasti keseluruhan status kewangan anda, langkah yang seterusnya adalah menganalisa pengaliran tunai bulanan anda. Ini akan menunjukkan ke mana arah anda – sama ada anda mengumpul wang, bertahan atau terus dibelenggu hutang. Anda boleh mengetahuinya dengan memeriksa pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. (Lihat Kertas kerja 2: Penyata Aliran Tunai)

Jika anda mempunyai wang lebih pada akhir bulan setelah menjelaskan semua perbelanjaan (ya, kami faham, ramai orang mungkin curiga dapat menhasilkan wang lebih setiap bulan – bak kata “kais pagi makan pagi”), nilai bersih anda akan meningkat, dan anda harus menyimpan atau melaburkan baki yang lebih ini. Sebaliknya pula, jika anda tidak dapat menampung keperluan bulanan, anda harus pula mengubahsuaikan perbelanjaan agar anda dapat membayar semua bil atau komitmen anda.

Tidak kira walau ke mana arah kewangan anda, ketetapan anda untuk memeriksa perbelanjaan anda secara berterusan adalah penting untuk anda berjaya menguruskan wang, terutamanya dalam tempoh yang sukar seperti sekarang.

Berikut adalah beberapa perkara penting untuk dipertimbangkan dalam perbelanjaan utama anda.

Pendidikan

Penidikan merupakan satu perkara penting dalam pertimbangan dalam pelan kewangan anda. Walaupun kita perlu menanggung kos untuk mendapatkan ijazah atau sijil di kolej, perbelanjaan ini biasanya salah satu pelaburan terbaik yang boleh kita dilakukan. Secara purata, seseorang yang memiliki pendidikan yang lebih tinggi dan kemahiran kerja yang memenuhi kehendak pasaran selalunya mendapat pendapatan yang lebih. Mendapatkan pendidikan tambahan adalah salah satu pelaburan terbaik yang harus kita lakukan.

Pengurusan hutang

Pada dasarnya berhutang bukanlah satu idea yang teruk. Yang mencabar tentang berhutang adalah selain membayar semula pokok hutang (jumlah asal yang dipinjam), kita juga harus membayar faedah yang dikenakan atas baki hutang tersebut. Bagi pinjaman 30 tahun untuk perumahan, umpamanya, peminjam akan membayar lebih dua kali ganda nilai pembelian rumah tersebut, disebabkan oleh tambahan yang diperlukan untuk membayar faedahnya. Jadi, jika kita boleh mengelak diri dari meminjam wang, ini adalah lebih baik untuk jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, kita mungkin amat memerlukan pinjaman wang dalam situasi yang lain pula. Anda memerlukan pinjaman samada dalam perniagaan, pembelian rumah atau kereta. Walaupun pinjaman dibuat atas alasan tersebut, adalah lebih baik untuk anda mempunyai sedikit wang tambahan di dalam bajet anda untuk waktu kecemasan. Kecemasan dan perbelanjaan yang tidak terduga selalunya timbul bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, anda haruslah berhati-hati sebelum melibatkan diri anda dalam apa-apa komitmen hutang. Hutang yang tidak dilangsaikan serta-merta akan bertambah banyak tanpa disedari anda.

Makanan

Kos makanan merupakan satu lagi bahagian utama dalam bajet sesuatu keluarga. Secara am, membeli secara borong kemudian menyediakan makanan di rumah adalah lebih menjimatkan daripada membeli barang makanan yang telah diproses dan makan luar di restoran. Tambahan pula, ramai keluarga mendapati bahawa menyara kebun atau tapak tanaman sayur-sayuran sendiri juga membantu dalam mengurus bajet makanan mereka.

Pakaian

Kita tidak dapat menafikan bahawa setiap orang perlukan pakaian; sebaliknya, di sini juga kita berpeluang untuk berjimat cermat. Jika kita merancang pakaian yang akan memenuhi almari kita, bajet pakaian dapatlah dikawal, dan tidaklah berlebihan kerana membeli sesuka hati pada bila-bila masa.

Membeli pakaian yang berkualiti, dan bergaya tradisional boleh menjimatkan dalam jangkamasa yang agak panjang. Pakaian sebegitu boleh tahan lama dan akan bertahan melalui dunia fesyen yang sering berubah; pendekatan ini lebih murah dalam masa panjang daripada membeli pakaian yang kurang berkualiti atau yang mengikuti fesyen terkini.

Simpanan

Tidak ketinggalan pula, kita harus fokus kepada tabiat menyimpan wang. Walaupun simpanan sering dianggap sebagai suatu yang mewah, ia sepatutnya dari awal lagi dimasukkan dalam bajet setiap rumahtangga. Sebabnya mudah sahaja: Waktu-waktu kecemasan atau perbelanjaan yang tidak diduga akan timbul pada bila-bila masa sahaja. Dengan adanya simpanan, kita sudahpun bersedia untuk mengurangkan kesan malapetaka itu. Dari sudut aspek ini juga, simpanan wang boleh dianggapkan sebagai perbelanjaan yang ditangguh untuk masa hadapan.

Selain dari mengadakan dana simpanan untuk kecemasan, banyak lagi alasan yang boleh diberi bagi menyimpan wang, seperti perbelanjaan dirancang untuk membeli rumah, kereta, barang-barang persendirian, rancangan pendidikan dan juga matlamat untuk meninggalkan dana pusaka. Kesemua matlamat-matlamat kewangan ini memerlukan satu elemen yang sama, iaitu disiplin diri untuk tetap menyimpan sejumlah amaun minima, malah amaun yang semakin bertambah, ke arah dana simpanan anda.

Anda juga harus awasi berbagai-bagai kaedah periklanan yang mencuba mengubah minda anda ke arah yang berlawanan. Mereka sentiasa memberi galakan untuk “beli sekarang, bayar kemudian” dan pandai pula menipu minda anda dengan anggapan bahawa gaya hidup serba mewah ini adalah sebenarnya ganjaran hidup anda. Disiplin diri untuk menyimpan wang, dan pemikiran waras yang mengetahui waktu yang sesuai untuk membeli-belah, adalah asas terpenting dalam usaha anda untuk membina dana kewangan masa hadapan yang berjaya.

Kami berharap, kami telah dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan yang bermanfaat untuk memperbaiki pengurusan Aliran Tunai anda, dan juga meninggikan tahap Nilai Bersih anda. Pada minggu hadapan, kita akan menemui pula topik yang boleh memberi anda pendekatan untuk bertahan dalam zaman inflasi ini.

Khamis, 17 Disember 2009