Sabtu, 22 Januari 2011

3 TEKNIK HAFIZ


3 TEKNIK KEPADA HAFAZAN ANDA?
catitan nota dari ustaz asyraf adalah satu kredit buat along kini di sg kelambu dan angah di hulu langat..teruskan jihad kalian dalam hafazan ayat ayat allah.



Benar kata cerdik pandai, strategi yang tepat dan berkesan adalah senjata ampuh kedua selepas doa kepada Allah. Jenis serta cara kita mengingati sesuatu merupakan perkara yang termasuk dalam ‘bab strategi’ ketika menghafaz. Ia amat berguna untuk mengenalpasti corak ingatan dipetakan dalam minda kita.



Jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan visual’, maka :



1. Anda tidak digalakkan untuk bertukar-tukar mashaf. Ia adalah ‘the most important rule’ yang tidak boleh dilanggar. Kalau dalam hukum fiqh, melanggar peraturan ini ‘haram’ hukumnya. Ini kerana, hafazan berbentuk visual akan membentuk ‘ingatan fotografik’ dalam minda. Jika anda sering bertukar mashaf, ditakuti gambar mukasurat yang dirakam dalam minda juga akan bertukar-tukar. Takut-takut, hafazan anda akhirnya nanti saling tak ubah macam ‘rojak’, - macam-macam ada!



2. Anda perlu mengecam betul-betul mukasurat yang dihafaz dengan mengenalpasti pola susunan ayat, tanda waqafnya serta tidak dilupakan, hukum tajwid unik (seperti saktah, isymam dll) yang mungkin wujud dalam mukasurat itu. Begitu juga, anda perlu mengingati letak setiap mula awal ayat, tanda waqaf pilihan (seperti huruf jim kecil, lam-alif kecil dll) serta kedudukan hujung ayat itu berakhir samada awal, tengah atau hujung mukasurat.



3. Gunakan ‘highlight pen’ ketika menghafaz dengan menandakan setiap ayat yang sukar, hukum tajwid yang selalu dilanggar, atau tempat yang paling sering anda lupa. Mungkin ada yang bertanya ‘tetapi ustaz, bukankah Al-Quran tidak boleh diconteng? – Jangan risau, kita boleh menggunakan kreativiti tanpa perlu menconteng Al-Quran cantik anda sedikitpun! Fotokopi sahaja mukasurat yang ingin dihafaz, kemudian terpulang kepada anda untuk menandakannya puas-puas!



4. Ini satu lagi teknik berkesan untuk golongan pengingat visual. Fotokopi besar-besar mukasurat yang ingin dihafaz, kemudian tampalkannya disekeliling bilik atau pejabat anda. Teknik ini pernah saya lakukan dahulu setelah mendapat ilham dari satu surau yang menggantung besar-besar (besar sungguh!) 3 mukasurat Surah Sajadah betul-betul depan imam agar mudah beliau membacanya ketika solat Subuh pagi jumaat!



5. Bina graf, carta atau apa sahaja untuk menunjukkan prestasi hafazan anda setiap hari. Ia akan lebih mudah merangsang semangat anda untuk menghafaz apabila melihat pencapaian hafazan dalam bentuk visual. Bahkan, ia juga boleh berperanan sebagai ‘reminder’ berkesan – MasyaAllah!, sudah dua minggu saya masih tersekat menghafaz mukasurat sama sahaja!



6. Banyakkan menulis kembali ayat yang telah dihafaz tanpa merujuk mashaf kerana melaluinya sahaja, kekuatan ‘ingatan mukasurat’ tersebut benar-benar teruji. Anda akan mendapati teknik ini benar-benar memberikan manfaat besar kerana melaluinya, kita akan dapat pastikan ‘ayat sekian bermula di kedudukan sekian’ dalam setiap mukasurat. Jika tulisan itu lebih banyak yang betul dari salahnya, maka ingatan hafazan anda dianggap sudah di tahap ‘almost perfect’ dan layak diberikan penghargaan, sama seperti potret lukisan pemandangan lama yang dilukis hampir seratus-peratus serupa walaupun pelukisnya hanya sekali sahaja pergi ke tempat itu! 100% bergantung pada ingatan visual sahaja tanpa kamera digital mahupun video kamera disisi!



Melalui teknik menulis semula ingatan hafazan juga, anda akan dapat mengecam dengan baik ayat awal serta ayat hujung setiap mukasurat dalam sesuatu juzuk/surah. Perkara ini akan terasa manfaatnya bila seseorang bertanyakan anda ‘dimanakah ayat sekian-sekian terletak dalam Al-Quran?’



Anda dengan mudah memberikan jawapan ‘Oh, ayat tersebut terletak di juzuk sekian, maqra’ sekian dan mukasurat sekian…. Kedudukannya pula tengah-tengah mukasurat, sementara ayat sebelumnya ialah sekian-sekian dan ayat selepasnya adalah sekian-sekian…. Sekian, terima kasih..’



Menarik bukan jika anda memiliki ingatan sebegitu?





Tetapi, jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan audio’, maka anda perlu :



1. lebih banyak mendengar ayat hafazan melalui cd/rakaman bacaan Imam terkemuka. Jika sibuk, carilah waktu kosong disela kesibukan harian untuk melakukannya seperti mendengar cd ayat hafazan ketika traffic jam atau waktu lain. Begitu juga, andai tugasan yang anda lakukan setiap hari merupakan kerja rutin, kurang bergantung kepada orang lain serta kurang pengawasan, mungkin anda boleh melakukan kerja tersebut sambil mendengar ayat hafazan dari Ipod atau alat elektronik lain.



Dan, jika anda merupakan seorang ‘freelance’, pekerja S.O.H.O (small office home office) atau surirumah sepenuh masa, kerja mengulang akan menjadi lebih mudah! Pasang sahaja cd/kaset ayat hafazan tersebut di radio sepanjang hari. Jika mahu lebih ekstrem, pertimbangkan teknik ini : dengan beranggapan suara anda tidak mengganggu jiran sebelah rumah, mungkin sudah sampai masanya waktu anda ber‘karaoke pahala’ – ikuti bacaan ayat qari tersebut kuat-kuat!



2. Teknik ‘rakam suara sendiri dan dengar semula’ amat berkesan untuk menjadikan kualiti hafazan anda lebih kuat. Saya pernah menggunakan teknik ini dan Alhamdulillah, ia memang banyak membantu terutamanya dalam mengenalpasti sebutan huruf yang tidak begitu tepat. Melaluinya juga, saya dapat mengecam ‘lompong hafazan’ seperti tempat paling sering kesalahan tajwid berlaku, serta memperbetulkan intonasi bacaan agar setaraf dengan ‘lahjah arab’.



Bonus terbesarnya pula ialah, teknik ini sahaja yang berjaya mendedahkan kelemahan utama saya yang selama ini tidak disedari – rupa-rupanya, ada juga saya tersalah baris ketika menghafaz!



3. Agar ingatan menjadi lebih mantap, cuba sekali-sekala tawarkan diri sebagai imam di surau/masjid berdekatan. Saya yakin, jika kena caranya, pasti para jemaah menyukai bacaan anda. Ini kerana, disebabkan anda menghafaz berbantukan bacaan imam popular, anda sebenarnya secara tidak langsung menghafaz sekali ‘irama’ & ‘lenggok’ lagunya.



Bayangkan jika imam pujaan yang sering diikuti ialah Syeikh Sudais imam Masjidil Haram, sementara anda pula menjadi imam dengan mengikuti lenggok bacaannya 100 peratus, pasti heboh satu kampung dengan berita : ‘Gempar! - ‘Imam Masjidil Haram datang solat subuh di surau kampung kita!!’



Cuma satu sahaja pesanan saya, pastikan mutu suara serta ‘piching’ anda setaraf dengan Imam Sudais. Kalau tidak, takut-takut tajuk berita di atas bertukar pula menjadi : ‘Jemaah kita si xxx cuba tiru lagu Imam Sudais masa jadi imam, tapi makmum ramai ‘Mufaroqah’ sebab ‘piching’ lari!!





3 : Tetapi, jika anda merasakan diri anda termasuk dalam golongan ‘ingatan kinestetik’, maka anda perlu :



1. biarkan badan anda bergerak-gerak ‘ala berzikir’ ketika menghafaz. Tidak kisahlah samada gerakannya kedepan-belakang atau kekiri-kanan, yang penting jangan sekali-kali anda cuba menahan gerakan tersebut berhenti.



Ini kerana ada rahsia besar tersembunyi di dalamnya. Melalui pergerakan itulah, ia berfungsi semacam ‘generator’ hafazan di mana, semua ayat yang sedang dihafaz sedang disimpan perlahan-lahan. Malahan, anda akan lebih mudah mengingati semula apa yang diingati berdasarkan gerakan badan yang dilakukan ketika ia disimpan.



2. Teknik di atas ialah bagi mereka yang gemar ’bergerak setempat’. Ada juga teknik kedua yang lebih suka menggerakkan semua anggota badannya ketika menghafaz seperti rakan ‘tawaf kelas’ saya yang diceritakan sebelum ini. Jika anda termasuk dalam golongan tersebut, baguslah kerana anda bakal mendapat bonus tambahan iaitu : bersenam sambil menghafaz!



Memang berbaloi untuk anda. Pahala dapat, kesihatan pun meningkat!



3. Mungkin juga ada yang agak ‘slow motion’ gerakannya. Bagi mereka, 2 teknik gerakan di atas tidak sesuai untuk digunakan. Oleh itu, saya mencadangkan teknik ketiga yang lebih santai iaitu : ketika menghafaz, gerakkan objek kecil seperti menggerakkan pensel atau objek seperti guli, pemadam dan sebagainya.



Teknik ini pernah dilakukan oleh salah seorang anak murid saya dahulu. Saya sering memerhatikannya yang leka menggerak-gerakkan pensel dijarinya ketika menghafaz. Apabila ditegur, dia menjelaskan ‘ustaz, saya lebih ‘khusyuk’ menghafaz jika pensel ini sama bergerak dengan saya!’


Tidak kisahlah apa yang anda gerakkan, kerana setiap individu memiliki stail pergerakan tersendiri – samada cara berjalan, arah gerakan badan atau sebarang ‘rhythm’ gerakan ketika menghafaz. Yang penting, pergerakkan tersebut amat membantu pencapaian hafazan. Ini kerana bagi golongan ‘pembelajaran kinestetik’, gerakan tersebut samalah fungsinya seperti bateri yang dipasang pada ‘kereta control’.

RUJUKAN ASAL

http://www.asraffayob.com/

2 ulasan: