Melihat beberapa pandangan ulama muda dalam youtube tentang hukum BERSIH,
terasa agak dangkal method penghujjahan mereka.. terasa kosong..
Tulisan sahabat Us Hj Anhar Opir pensyarah UPSI boleh mencerahkan lagi kejayaan.
SURAT TERBUKA BUAT PENSYARAH DAN PENYELIDIK
1. Menonton rakaman Astro 502 yang berlangsung jam 10.30 malam pada 30 Jun 2011 yang lalu, menimbulkan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan. Dua ahli panel membahaskan tajuk yang berkaitan dengan demonstrasi. Panel pertama adalah pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan panel kedua adalah seorang penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur , tajuk yang dibincangkan ialah Demonstrasi Dari Kacamata Islam.
2. Apabila ingin melihat sesuatu isu dari kacamata Islam, maka kita perlu adil dan amanah dalam perbincangan yang diadakan. Menyebut satu pandangan sahaja dan mendiamkan pandangan lain yang pelbagai yang sepatutnya juga diketengahkan adalah bukan metodologi yang baik untuk seorang pensyarah dan penyelidik, kerana kesannya ialah kesimpulan hasil kajian yang tidak tepat dan mantap. Tidak dinafikan hampir keseluruhan yang disebutkan oleh kedua-dua ahli panel adalah benar, tetapi ia hanya dari satu sisi sahaja. Tidak menyebut sisi yang lain dianggap menyembunyikan fakta dan kebenaran. Perlu ditekankan bahawa kacamata tidak hanya mempunyai satu cermin. Jadi tulisan ini ingin menyentuh satu lagi sisi yang lain, agar dapat dikembalikan semula cermin kedua yang melengkapkan kacamata tadi.
3. Pada peringkat awal lagi panel pensyarah telah membuat kesimpulan bahawa demonstrasi bukan daripada Islam hanya dengan kaedah logik dalam teknik menanyakan soalan. Ketika diajukan soalan: Demonstrasi dari mana? Lantas dengan mudah beliau menjawab: Apabila soalan itu keluar, memang jelas menunjukkan demonstrasi bukan daripada Islam. Ini bukan kesimpulan yang lahir daripada kajian dan hujjah, bahkan ia tiada nilai ilmiah. Tambahan pula perumpamaan yang yang cuba dibawakan sebagai qias iaitu nasihat, adalah qias yang tidak cukup syarat, kerana hukum yang dinyatakan bukan hukum yang sama. Panel pensyarah juga menyatakan bahawa berlaku perselisihan yang kuat dalam perkara ini. Sedangkan apabila wujud perselisihan maknanya ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan. Kedua-duanya adalah pandangan yang perlu dibahaskan kerana sudah pasti kedua-duanya mempunyai dalil yang kuat, kerana jika tidak, mana mungkin beliau menyebut berlaku perselisihan yang kuat. Bahkan semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripada lima hukum taklifi sebagaimana yang dibahaskan dalam ilmu Usul Feqh, termasuklah juga demonstrasi, kerana ia adalah perbuatan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 36 yang bermaksud:
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, serta hati, semua anggota-anggota tersebut tetap akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dilakukannya.
4. Ketika panel pensyarah menyamakan demonstrasi dengan apa yang berlaku pada zaman Saidina Uthman RA selaku khalifah ketiga, sebagai demonstrasi yang membawa kepada kewafatannya, definisi yang mana yang digunakan oleh beliau? Kerana terdapat pelbagai istilah yang mempunyai definisi yang berbeza-beza, antaranya al-bughat, al-mu’aradhah, khuruj ‘ala al-imam, al-Khawarij dan sebagainya. Definisi yang berbeza-beza menyebabkan hukum juga berbeza-beza. Menyamakan semuanya boleh menyebabkan kecelaruan hukum. Menyamakan semuanya juga menyebabkan semua demonstrasi perlu disamakan hukumnya, tidak kira siapa yang melakukannya dan di mana-mana negeri sekalipun. Oleh itu, beliau sepatutnya mendefinisikan dahulu, yang manakah yang beliau maksudkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.
5. Hakikatnya demonstrasi itu berbagai-bagai, jika demonstrasi yang bertujuan untuk membunuh dan membuat huru-hara maka ia ditegah dan diharamkan oleh Islam, sama seperti yang berlaku kepada khalifah Uthman RA. Tetapi terdapat demonstrasi yang bertujuan untuk menyuarakan pandangan, sama ada pandangan menyokong atau pandangan membantah yang dilakukan secara tertib dan aman, seperti demonstrasi membantah serangan Amerika ke atas Iraq, maka sukar untuk kita simpulkan bahawa Islam menegahnya. Larangan dalam feqh Islam juga ada konteksnya, kerana terdapat larangan bukan kerana zatnya haram, tetapi ia haram kerana faktor lain. Boleh jadi panel pensyarah lebih arif tentang hukum jual beli pada waktu Jumaat yang hukumnya haram, tetapi jual belinya tetap sah.
6. Bantahan dan pandangan lain dalam sesuatu perkara telah wujud sejak zaman nabi SAW. Maknanya nabi SAW seorang pemimpin yang juga mendapat bantahan. Pernah seorang sahabat bernama al-Hubab bin al-Munzir membantah nabi SAW ketika menentukan tempat perkhemahan tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra. Yang menariknya nabi SAW menerima bantahan dan pandangan tersebut lantas melaksanakannya. Diriwayatkan bahawa al-Hubab memberi pandangan kepada nabi SAW:
Kami berpandangan bahawa perlu kuasai punca air keseluruhannya bukan hanya satu punca air sahaja, nescaya ke atasnya kita akan berhadapan dengan mereka. (Riwayat al-Baihaqi)
7. Terdapat banyak lagi contoh bantahan yang berlaku pada zaman nabi SAW, ada yang diterima dan ada yang ditolak, yang penting bantahan tetap wujud. Begitu juga pada zaman Khulafa’ al-Rashidin. Contohnya pada zaman Umar al-Khattab RA, ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan Umar kerana tidak menyerahkan tanah Iraq , Syam dan Mesir kepada tentera Islam. Tentera Islam yang jumlahnya ramai itu telah meminta kepada Umar RA supaya disamakan dengan ghanimah (harta rampasan perang) iaitu diserahkan kepada mereka sebagaimana yang berlaku dengan tanah Bani Nadhir dan Bani Quraidzah. Ini menunjukkan pandangan lain dan bantahan memang wujud. Ia tidak boleh dihapuskan dan dimatikan dengan menghukumkannya haram, sebaliknya ia perlu diurus. Bagaimana nabi SAW dan Umar RA mengurus bantahan inilah yang wajar diketengahkan.
8. Bagi panel kedua pula, sebagai peyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur nampaknya agak keliru di antara ‘Am dan Mutlak, kerana secara jelas beliau telah menyamakan di antara kedua-duanya. Sekiranya orang awam yang keliru di antara kedua-duanya dengan menyamakannya tidak menjadi masalah, kerana mereka adalah orang awam yang tidak mendalami ilmu al-dalalat, tetapi kalau seorang yang jawatannya penyelidik masih keliru dan menyamakan kedua-duanya, maka dia perlu lakukan lebih banyak lagi penyelidikan agar dapat mengetahui perbezaannya. Paling minimum yang perlu diketahui perbezaannya ialah ‘Am adalah syumuli (menyeluruh), manakala mutlak adalah badali (ganti). Panel penyelidik ketika membicarakan kewajipan taat kepada pemimpin telah memetik dalil daripada firman Allah SWT daripada surah al-Nisaa’ ayat 59 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan kepada uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.
9. Memang lafaz uli al-amri adalah ‘am dari aspek cara perlantikan iaitu semua cara, sama ada syura, pewarisan (waliyu al-‘ahd) dan sebagainya, tetapi ia tidak mutlak sebagaimana yang didakwa. Taat kepada Allah dan rasulNya adalah mutlak, tetapi taat kepada uli al-amri adalah tidak mutlak kerana ia diqaidkan (terikat) dengan syarat selagi tidak menyuruh melakukan maksiat. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan tentang ayat ini:
Berkata Ibn Khuwaiz Mindad: Dan adapun taat kepada pemerintah, maka ia wajib pada perkara ketaatan kepada Allah, dan ia tidak wajib pada perkara maksiat kepada Allah. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)
10. Ini juga yang telah disebut oleh para mufassirin yang lain seumpama al-Tabari (310H) dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aiy al-Qur’an, Ibn al-‘Arabi al-Maliki (543H) dalam Ahkam al-Qur’an, Ibn Kathir (774H) dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, dan lain-lain lagi. Penyelidikan yang dilakukan oleh panel yang tidak menjumpai tidak mutlaknya ketaatan ini, sebaliknya menyamakan pula di antara ‘am dan mutlak, tidak menggambarkan jawatannya sebagai penyelidik. Kalaupun ada keuzuran untuk menemuinya dalam kitab-kitab tafsir, hadith yang digunakan oleh beliau juga sebenarnya sudah cukup untuk menjadikannya muqaiyad (terikat), namun malangnya beliau tidak membaca matan hadith dengan lengkap yang terdapat dalam riwayat yang lain. Diriwayatkan daripada Ummu al-Husain bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Wahai manusia bertakwalah kepada Allah, walaupun dilantik ke atas kamu seorang hamba Habsyi, maka hendaklah kamu dengar dan taat, selagi mana dia menegakkan kitab Allah dalam (menghukum) kamu. (Riwayat al-Tirmizi)
11. Jelas dalam hadith ini ia tidak mutlak, sebaliknya ia diqaidkan (diikat) dengan syarat mesti melakukan hukuman dengan kitab Allah. Mustahil beliau tidak menjumpai matan ini dalam penyelidikan yang dijalankan, lalu tidak menyebutnya dengan lengkap. Jadi, sebagaimana kitab-kitab feqah mewajibkan mentaati pemerintah yang dilantik dengan apa cara sekalipun, kitab feqah yang sama juga, bahkan kitab-kitab tafsir dan syarah hadith mensyaratkan pemerintah yang bagaimana yang wajib ditaati, kerana ia tidak mutlak.
12. Ibn al-Qaiyim al-Jauziyah (751H) merakamkan kata-kata Ibn ‘Aqil yang membuat komentar terhadap kata-kata Imam al-Shafi’e (204H) ketika menyebut:
Tiada politik melainkan apa yang menepati syara’. Ibn ‘Aqil berkata: Jika yang engkau (Imam al-Shafi’e) maksudkan daripada kata-katamu tiada politik melainkan apa yang menepati syara’ iaitu apa yang tidak menyalahi yang disebut oleh syara’ maka ia betul. (Ibn al-Qaiyim, Turuq al-Hukmiyah, hlmn 25)
13. Panel yang merupakan penyelidik juga ketika menceritakan kisah seorang pemimpin yang zalim iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi (95H), dengan mudah membuat rumusan bahawa tidak ada seorangpun sahabat atau ulama’ pada waktu itu yang mengatakan boleh memerangi al-Hajjaj. Mungkin beliau keliru dengan penyelidikannya kerana asyik mencari fatwa yang membolehkan memerangi al-Hajjaj. Kisah al-Hajjaj membunuh anak para sahabat, tabi’in dan orang ramai, sudah cukup membuktikan berlakunya bantahan dan penentangan. Masih memerlukan fatwa juga ke? Kerana mereka membantah dan menentanglah mereka dibunuh. Tidak akan dibunuh jika tidak membantah dan menentang. Terlalu sukarkah untuk memahamimantuq dan mafhum ini. Imam al-Tirmizi (279H) menyatakan:
Dia (al-Hajjaj) dipanggil pendusta al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid wa al-Mubir al-Hajjaj bin Yusof… Hisham bin Hassan berkata: Mereka mengira jumlah yang dibunuh oleh al-Hajjaj sebagai sabar seramai seratus dua puluh ribu orang. (Sunan al-Tirmizi)
14. Dicadangkan juga kepada panel, sebagai seorang penyelidik agar memberikan komentar terhadap tindakan beberapa tokoh para sahabat seperti Saidina Husin bin Ali dan Abdullah bin Zubair pada ketika itu, jika ingin mengetahui wujud atau tidak mereka yang menentang dan memerangi al-Hajjaj. Pengkaji sejarah sedia maklum akan pendirian mereka berdua. Begitu juga dengan kumpulan para tabi’ien seumpama al-Sya’bi, Ibn Abi Laila dan Sa’id bin Jabir yang telah keluar bersama Ibn al-Asy’ath daripada kepimpinan al-Hajjaj. Hayati dan telitilah kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal (241H) ketika menceritakan bagaimana Sa’id bin Jabir dibunuh dengan kejam oleh al-Hajjaj. Puncanya kerana Sai’d membantah dan menentang al-Hajjaj. Lebih cermat dan selamat jika panel tidak malakukan ta’mim (pukul rata) dalam kenyataannya, kerana ia boleh terjerumus kepada kesilapan dan menunjukkan kelemahan penyelidikannya.
15. Elok juga dikongsikan beberapa pandangan imam mazhab yang sangat tegas tentang politik untuk kita memahami suasana yang berlaku pada zamannya. Imam Abu Hanifah (150H) sebagai contoh menegaskan bahawa Khilafah Islamiah yang sebenar telah berakhir dengan pembunuhan Saidina Ali RA, dan menyatakan bahawa pemerintahan Bani Umiyah dan Abbasiyah adalah tidak syar’ie. Buktinya Imam Abu Hanifah menyuruh orang ramai supaya memberikan sokongan kepada Ibrahim al-Imam dan saudaranya Muhammad al-Nafs al-Zakiyah, iaitu ketika keluar daripada kepimpinan al-Mansur al-‘Abbasi (158H). (rujuk Dr. Mustafa al-Shak’ah, Islam Bi La Mazahib, Beirut , hlmn 359). Selain itu, Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sangat menghormati dan mengutamakan hak kebebasan individu, tidak ada sesiapapun yang boleh merampasnya. Ini dapat dikesan dalam feqhnya seperti menegah wilayah ke atas wanita yang baligh dan berakal, begitu juga larangannya dalam menahan harta bagi seorang yang berakal sama ada safih atau tidak. Imam Abu Hanifah juga berkata:
Pemilihan umum bagi seorang khalifah wajib lebih dahulu daripada perlantikan kekuasaannya. (Abu Zuhrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, Dar al-Fikr al-‘Arabi, jilid 2, hlmn 166)
16. Imam Malik bin Anas (179H) pula terpaksa berhadapan dengan seksaan kerana bantahannya secara terbuka terhadap cara perlantikan khalifah yang tidak betul pada waktu itu. Imam Malik dengan tegas menyebut hadith nabi SAW tentang talak yang tidak jatuh jika dilakukan dengan cara paksaan. Ia telah menyebabkan kemarahan Ja’far bin Sulaiman (ayah saudara al-Mansur), gabenor Madinah kerana kefahaman daripadanya ialah tidak sah bai’ah yang beliau perolehi hasil daripada cara paksaan. Dengan itu Imam Malik diseksa kerana kenyataannya itu. Namun, orang ramai bangkit dan membantah beramai-ramai terhadap tindakan yang dikenakan kepada Imam Malik yang akhirnya menyebabkan Khalifah al-Mansur (158H) tunduk dan akur dengan kehendak orang ramai, lalu memecat Ja’far daripada jawatannya dan membebaskan Imam Malik.
17. Ini adalah sebahagian daripada persoalan yang timbul selepas menonton rakaman perbincangan kedua-dua ahli panel pensyarah dan penyelidik beberapa hari lepas. Ia hanya pandangan dari sisi yang lain yang mungkin tidak sempat dikupas dengan lebih terperinci oleh kedua-dua ahli panel kerana kekangan dan hambatan masa.
18. Kesimpulannya, menggunakan kaedah yang betul dalam sesuatu bidang menjamin kemantapan dan ketepatan kesimpulan, ia lebih utama apabila dikaitkan dengan kacamata Islam. Buat mereka, surat ini terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan