Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang
Jemaah sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada
Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Hijrah Diri”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Tahun baru 1434H seharusnya bahkan sewajibnya menjadikan kita lebih matang. Matang dalam berfikir,
matang dalam beramal dan matang dalam menjadi seorang Muslim yang sebenarnya.
Perubahan akan sentiasa berlaku dalam kehidupan hidup manusia. Kerana manusia
itu pasti inginkan yang terbaik untuk dirinya. Maka bagi seorang Muslim, dia
pasti inginkan yang paling baik untuk dirinya, bukan terbatas di dunia sahaja
tetapi terbaik di akhirat. Bahkan meletakkan kebaikan akhirat melebihi
segalanya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sempena tahun baru 1434H, pada tanggal 02 Muharam ini, marilah kita
sama-sama merenung Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 100:
“Dan sesiapa yang berHIJRAH pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHIJRAH yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala HIJRAHnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [an-nisa’:100]
Marilah kita berHIJRAH menjadi seorang Muslim yang lebih
baik.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Janganlah kita nilai harga sebuah HIJRAH itu pada luarannya sahaja. Jika
manusia yang kita letak sebagai hakimnya, sudah pasti luaran yang akan kita
utamakan kerana terbatasnya diri manusia untuk tahu melainkan yang luaran
sahaja. Tetapi jika kita menjadikan Allah sebagai hakimnya, HIJRAH spiritual yang akan
kita utamakan tanpa mengabaikan HIJRAH fizikal. Allah itu maha hebat maha
mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang kita sembunyikan.
Marilah kita berHIJRAH menjadi seorang hamba Tuhan yang lebih
baik.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w mengajar kepada kita 1001 hikmah yang
wajar kita cari gali dan fahami. Ibrah dari segi persediaan HIJRAHnya, ibrah dari segi
pelaksanaan HIJRAHnya dan ibrah selepas
dari HIJRAHnya. Lihatlah betapa
sangat patuh dan taatnya para sahabat-sahabat Nabi s.a.w kepada perintah Allah
dan Nabi s.a.w. Sehingga Allah mengangkat mereka menjadi golongan yang sangat
di dunia akhirat, dimuliakan penduduk bumi dan penghuni langit. Kuncinya kerana
patuh akan perintah Allah tanpa sebarang keraguan, baik dalam perkara kecil
sehingga kepada perkara besar, baik dalam urusan sendiri sehingga kepada urusan
ummat.
Kerana mahalnya sebuah HIJRAH.
“Dan
sesiapa yang berHIJRAH pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan
Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHIJRAH yang
banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan
tujuan berHIJRAH kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam
perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala HIJRAHnya di sisi
Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [an-nisa’:100]
Mulai HIJRAH kita dengan taubat
kepada Allah, peliharanya dengan amal soleh. Suburkan nilai HIJRAH kita dengan
menyatukan diri kita dengan kebaikan. Sertai program yang menjaga amal dan
meningkatkan iman, dengar perkara yang menjaga amal dan meningkatkan iman,
lihat perkara yang menjaga amal dan meningkatkan iman, bercakap perkara yang
menjaga amal dan meningkatkan iman.
Jangan kita sia-siakan HIJRAH yang kita pilih hari ini.
Semoga Allah akan menerima segala amal kita. Semoga Allah akan
mengampuni dosa-dosa kita. Semoga Allah akan menunjukkan kepada diri kita jalan
yang lurus dan beri kekuatan kepada diri kita untuk mengikut jalan yang lurus
itu.