Sabtu, 30 Januari 2010

isu lagu nasyid cinta berlebihan

Assalamualaikum Al Fadhil Ustaz

Barangkali ustaz tak berkesempatan untuk membaca email saya ini.. Namun doa dan harapan saya agar ustaz dan keluarga terus dalam rahmat dan barokah Allah..

Kebelakangan ini, dalam artikel ustaz ada menyebut tentang kalangan penasyid yang menyanyikan lagu 'cinta islamik' dan 'memuja wanita.. suara mendayu-dayu'

Sedikit soalan andai ada kelapangan ustaz tolong jawabkan ya..

"Apakah salah (hukum) menyanyi lagu cinta walau buat isteri, atau buat ibu.. atau buat guru wanita yg bukan muhrim.. dengan alasan sebagai medium luahan perasan untuk mengerat lagi kasih sayang dan silaturrahim... Bagaimana pula kalau mereka yang dipuja adalah ahli agama tersohor lampau seperti saidatina khadijah, aishah, tokoh sufi rabiatul adawiyah dan lain"



Saya yang kurang ilmu..

- Azalinor Saujana

www.saujana.net.my



JAWAPAN



Wa'alaikumussalam akhi Azalinor,



Terima kasih atas doa dan ana mendoakan antum sekeluarga dan sahabat juga sihat wal afiat.

Terus terang saya katakan, bagi saya, kumpulan nasyid perlu lebih berhati-hati ketika mendendangkan lagu-lagu yang berkaitan cinta dan kasih.

Begini, jika jelas dan terang dari lirik cinta dan kasih sesuatu lagu itu merujuk kepada Allah, Rasul, sahabat Nabi sama ada lelaki atau perempuan, tokoh-tokoh ilmuan atau ikon Islam popular seperti Rabiatul Aadwiyah, tokoh seperti Ratu Balqis, ibu dan bapa serta keluarga, maka saya berpandangan hukumnya adalah HARUS.

Apa yang menurut pandangan saya TIDAK HARUS adalah laungan-laungan cinta dan kasih yang tidak jelas watak yang ditujukan, sehingga memungkinkan 'double meaning" berlaku serta mengasyikkan para wanita dan lelaki yang sedang dilamun cinta. Contoh pada hemat saya adalah seperti lagu 'Siti Munawwirah', ‘Nur Syahada' dan ‘Cinta Pertama' dan banyak lagi, Cuma cukuplah dua tiga lagu sebagai contoh.


Saya pasti rakan-rakan penasyid telah melihat konsep lagu-lagu Sami Yusuf dan Maher Zain terbitan The Awakening, ia tetap hebat dan popular walau tidak berkisar hal cinta wanita. Konsep sebegini perlu lebih dipopularkan berbanding dendangan cinta.

Saya faham kumpulan naysid kita juga telah banyak menghasilkan lagu-lagu berkonsep perjuangan, nasihat umum dan lain-lain yang tidak berkisar persoalan cinta, cuma apa yang kita focus kini adalah bagaimana boleh menghindari syubhah dalam lagu nasyid sebaik mungkin.

Hujjah mendendangkan lagu sebegitu bagi menyediakan alternatif cinta hitam dan maksiat dendangan penanyi biasa juga tidak dapat terima, kerana ia tetap boleh membawa kesan buruk yang serupa bagi pendengar.

Hujjah bahawa lirik lagu cinta Islamik itu mengajak kepada cinta yang tulus dan bersih juga sukar bagi saya. Menurut penilaian saya, segala nasihat-nasihat yang disebut di dalam nasyid cinta akan menenggelamkan pendengar yang sedang berkasih dek keasyikan dendangannya, malah ia lebih mendorong kepada keasyikan yang lebih membuta dan memekakkan mereka dari segala nasihat. Tatkala itu, tiada perlu nasyid disediakan bagi golongan ini kerana ia tetap negatif secara umumnya dan mudarat melebihi manfaat. Kaedah fiqhi menyebut " menolak mudarat melebihi target mencapai manfaat"

Mungkin lagu dan lirik itu bukan pilihan penasyid tetapi adalah pilihan penerbit, jika benar demikian saya kira penasyid juga mempunyai haq untuk memberikan pandangan dan menetapkan pendirian, justeru buatlah sesuatu agar penerbit boleh memahami.



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

28 Januari 2010

1 ulasan:

  1. assalamualaikum..
    bila saya baca artikel ni,saya terfikir.betul juga apa yang ustaz cakapkan ni.terima kasih ustaz.

    BalasPadam