Khamis, 14 Januari 2010

Ustaz Melayu Masjidil Haram



Setiap kali selepas solat maghrib satu sudut diMasjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Mohammad Abdul Kadir Mandili muncul untuk memberi ceramah. Seperti biasa , awal awal lagi jemaah Malaysia menyerbu sudut itu yang terletak berhampiran kaabah dan selari dengan hajaratul Aswad.

Kebanyakan jemaaah yang pernah menjejakkan kaki di Masjidil Haram cukup mengenali beliau yang sudah lebih 30 tahun menjadi guru agama di masjid terulung itu. Mohammad yang berasal dari Alor Setar, Kedah sudah menempa nama sebagai tokoh agama yang disegani di Mekah. Beliau yang sudah lebih 50 tahun menetap di tanah suci, sebenarnya mengikut jejak arwah bapanya yang pernah menjadi guru agama di masjid yang sama.

Setiap tahun lebih dua juta umat Islam menunaikan haji berkunjung ke Masjidil Haram dan sebab itu mereka yang dipilih menjadi guru agama disitu bukan calang calang orangnya. Daripada 15 guru agama yang mengajar secara tetap, Mohamad adalah satu satunya anak melayu yang terpilih memikul tugas berat itu.

Sesuai dengan kebolehan Mohammad, pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu. Kerusi khas itu diwujudkan enam tahun lalu dan turut meliputi penceramah dalam bahasa Cina dan Urdu di sudut berlainan.

Mohamad kelihatan begitu segak apabila vberjubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih setiap kali beliau muncul untuk memberi ceramah. Dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.

“Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu.” Katanya yang kini berusia 65 tahun.

Selain program ceramah selepas Maghrib, jadual tugas hariannya meliputi mengajar anak tempatan daripada bangsa Pakistan, Bangladesh dan Melayu pada sebelah pagi. Menyorot kisah hidupnya, Mohamad mempunyai lapan adik beradik, tujuh daripadanya menjadi rakyat Arab Saudi. Hanya adik perempuannya yang tinggal bersama keluarga di Sabah.

Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agam di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan. Ada kala kerana sukar mendapat makanan. Beliau terpaksa makan pucuk ubi serta tidur pula hanya berbantalkan buah kelapa.

Sebelum penjajahan Jepun, ayahnya berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti. Selepas mendapat bimbingan alim ulamak di Masjidil Haram, beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama disitu hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.

Bagi Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia/Indonesia. Selepas itu mendalami lagi ilmu melalui bimbingnan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.

Mengikut ceritanya, dulu ramai keluarga enggan hantar anak mereka ke sekolah agama kerana bimbang mereka sesat tetapi bapanya bertegas mahu menghantar anaknya mengikuti pengajian agama dengan alas an “Kalau belajar hadis dan al-Quran pun mereka boleh sesat, biarlah mereka sesat”.

Beliau kini tinggal di sebuah banglo dua tingkat yang mempunyaiu 16 bilik, dikawasan Awali, tidak jauh daripada kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya beliau dikurniakan 18 anak dan 42 cucu.

Cara hidup melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga. Bagi mohamad, kemewahan tidak dating bergolek dan masih teringat ketika mula mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.

Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut teman temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bokhari.

Ketika musim haji baru baru ini, beliau mempelawa jemaah ke rumahnya sambil berkata: “Kita makanlah apa yang ada… sikit sama sikit… banyak sama banyak.” Pelawaan itu tidak mahu dilepaskan begitu sahaja dan akhirnmya beliau terpaksa menyediakan tiga bas untuk mengangkut jemaah kerumahnya. Bagi Mohamad, siapa sahaja yang berkunjung kerumahnya dianggap saudaranya.

Walaupun perjalanan hidupnya sudah jauh, Mohammad tidak lupa kampung halamannya di Malaysia serta masih segar di ingatannya kata kata semangat pejuang kemerdekaan Datuk Onn Jaafar, iaitu “Pemuda harapan bangsa, hidup melayu”.

“Teringatkan kata kata keramat inilah membuatkan saya balik ke Malaysia setiap tahun bagi memenuhi tanggungjawab sebagai pemuda harapan bangsa. Tidak kiralahj sama ada saya ada cuti panjang atau pendek, saya dan keluarga akan balik ke kampung.

“Tuhan sudah memberi saya sedikit sebanyak ilmu dan ia bukan untuk manfaat diri sendiri. Saya juga balik bukan untuk berseronok seronok atau cari wang tetapi mahu mengajak umat Islam balik kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang sebenar.”

Mohamad berpendapat masih banyak perkara khurafat mencengkam masyarakat Islam hingga menjadi bebanan atau tekanan mental. Orang barat turut mempercayai pelbagai khurafat tetapi mereka boleh maju, sebaliknya orang Islam tidak boleh maju. Sebabnya khurafat mereka walaupun lebih besar, seperti tidak percaya Allah dan Rasul, tidak menekan kepada akal… hanya menekan kepada rohani.

Tetapi bagi orang Islam, khurafat menekan mental mereka… hingga tidak boleh fikir. Sebagai contoh, dalam isu keramat, ada yang sanggup makan ulat kaki tok guru yang sudah buruk kononnya tok guru itu wali.
“Sebab khurafat menekan mental, mereka tidak dapat berfikir dan pernah berlaku dalam satu kes anak murid seorang tok guru sanggup makan ulat daripada kaki guru itu yang sudah busuk kerana percaya tok guru itu seorang wali. Dengan berbuat demikian dia yakin boleh jadi wali.”

Ada orang akan menuduh saya tidak hormati wali. Bukan kita tidak percaya wali. Kita tahu siapa wali dan apa itu keramat. Wali ialah mereka yang menjunjung perintah Allah, manakala keramat ialah pemberian Allah kepada hamba yang dia kasih. Wali bermakna kekasih Allah. Apabila Allah kasih, Da beri sesuatu yang luar biasa.”

Selain itu, Mohammad bimbang kerana berlaku banyak perkara bidaah dalam ibadat harian. Banyak perkara dilakukan tidak mengikut cara Rasulullah atau sunnah tetapi sebab sudah menjadi kebiasaan, ia diterima sebagai cara yang betul.

Sebagai contoh, pernah satu ketika dulu ketika balik ke Malaysia, beliau diminta mengimamkan solat dan apabila selesai, beliau terus bangun untuk wirid serta berdoa secara sendirian. Tindakannya itu dianggap ganjil serta mengundang pandangan serong jemaah masjid berkenaan. Menurutnya, berdoa memang digalakkan dan menjadi bidaah kalau tidak mengikut cara yang ditunjukkan Rasulullah.

Mohamad mengingatkan sesiapa yang menokok tambah perkara yang tidak ada dalam ibadat, hanya melakukan kerja sia sia kerana amalannya tidak diterima. Kalau ada yang berani tegur, mereka akan tuduh kita ekstrimis atau pengikut mazhab baru. Sejak balik ke Malaysia pada 1974 sehingga sekarang, tuduhan yang sama dilemparkan terhadap saya apabila ada usaha hendak membawa jemaah kembali kepada sunnah Rasulullah dan syariat sebenar.

“Lain kali, jika ada pihak mempertikaikan atau membuat tuduhan melulu, saya akan menasihatkan mereka supaya merujuk kepada kitab. Jika apa yang mereka dakwa itu memang ada dalam kitab, kita kena terima tetapi kalau salah, kita hokum dia… kenapa berbohong dan mahu merosakkan agama.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan