Ahad, 29 Ogos 2010

Masuk surau : Bolehkan orang kafir!


Selain dari TG Nik Abdul Aziz yang mempertahankan tindakan Teo Nie Ching yang memasuki surau itu dua orang lagi tokoh terkemuka agama terkemuka negara, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan perbuatan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki bahagian dalam surau, tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

TG Nik Aziz menyifatkan tindakan oleh Nie Ching itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum..

Manakala dua tokoh terkemuka agama terkemuka negara, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Muhammad Nur Manuty berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.

Apa yang jelas terserlah disini tindakan mempertikaikan tindakan Teo Nie Ching memasuki surau Al-Huda hanyalah menyerlahkan kejahilan para penyokong UMNO yang terdiri dari Melayu yang berugama Islam dalam hal ehwal Islam sendiri.

Demi meraih kembali sokongan masyarakat Melayu mereka akan memainkan apa saja isu walaupun ianya membakar sentimen perkauman asalkan yang dilakukan itu dirasakan boleh memihak kepada mereka..

Bak kata Mat Sabu ' UMNO sekarang umpama orang yang sedang lemas.. dalam kepanikan untuk menyelamatkan diri dari lemas, mereka akan berpaut kepada apa saja yang terapung yang melintasi didepan mereka.. biarpun yang melintas itu tahi.. mereka akan berpaut juga..


Umno Langgar Fatwa, Dr Asri Pertahan Teo Nie Ching

Dua tokoh terkemuka agama terkemuka negara, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan perbuatan Ahli Parlimen Sedang Teo Nie Ching memasuki bahagian dalam surau, tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain diperkuat dengan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Malaysia, mereka berpendapat, amalan orang bukan Islam mendekati masjid atau surau adalah tanda positif terhadap penerimaan agama, selagi tidak bercemar kesucian agama.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Keputusan itu dicapai pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010.Bekas Mufti Perlis itu tegas menyatakan, bukan menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam untuk memasuki surau dan masjid asalkan niatnya baik dan betul.

“Jika tujuan dia masuk itu tujuannya untuk mempelajari Islam mengetahui tentang Islam dan mengkaji tentang Islam ataupun untuk urusan kehidupan yang ada dengan kepimpinan Islam dalam masjid umpamanya seperti zaman nabi.

"Nabi sebagai ketua agama dan berpusat di masjid mereka masuk untuk berjumpa dengan nabi dan meminta masuk yang mereka rasa urusan mereka dan mereka masuk tidak ada masalah,” kata bekas Mufti Perlis kepada TV Selangor.

Dr Asri berharap kepada umat Islam di negara ini tidak terikat dengan stigma tertentu hingga mendorong mereka membuat kesimpulan mudah tapi salah.

Beliau menyarankan semua pihak menyelesaikan masalah ini berpandukan hukum hakam agama dan bukan bersandarkan kepada pemikiran politik.

“Saya mengharapkan perkara seperti ini jangan dimulakan hukuman yang menjadikan orang bukan Islam takut, lebih baik media-media ini memainkan peranan menerangkan prinsip umum Islam termasuk dalam masjid, apa pandangan Islam. Islam kata tidak ada masalah, mereka boleh masuk masjid jika niat mereka betul.

"Jika niat mereka salah, maka tujuan mereka salah, maka tidak boleh masuk masjid,” kata beliau.

Dr Asri mengingatkan semua pihak prinsip agama bukan bertiangkan politik kepartian yang membawa kepada pelbagai prejudis dan persepsi, sebaliknya mesti bersandarkan fakta dan dalil.

“Isu agama mesti diulas atas prinsip agama. Prinsip agama sentiasa ditegakkan melalui fakta sedangkan politik kepartian sentiasa ia dibina di atas prejudis dan persepsi.

"Jika kita mahu bercakap berkenaan agama, mesti mengikut kepada penghujahan agama. Jangan jadikan penghujahan politik untuk penghujahan agama kerana politik kepartian ada agenda di sebalik isu.

"Akan tetapi, agama sentiasa konsisten dan tegap dan dibina di atas prinsip,” katanya lagi.


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa umat Islam menyelak kembali lembaran sejarah ketamaduan Islam sebelum membuat kesimpulan melulu.

Ini akan membolehkan umat Islam lebih memahami isu dan perkembangan dunia Islam dengan lebih luas dan tidak terperangkap dengan kepompong budaya yang belum tentu berpaksi ajaran agama.

“Saya fikir masyarakat umat Islam kena mendalami lagi Islam daripada segi hukum hakam dan juga sejarah ketamadunan umat Islam yang berpangkalan di Makatul Mukarramah kemudian ke Madinah kemudian ke Baitul Maqdis.

Ini, supaya memahami adanya ruang-ruang yang diadakan orang Islam untuk masuk ke dalam masjid dan juga pembinaan gereja yang dibina berhampiran masjid seperti di Baitul Maqdis. Jadi umat Islam kena pertingkatkan kefahaman tentang Islam dan sejarahnya,” katanya.

Beliau menganggap tindakan Teo Nie Ching itu menunjukkan seorang pemimpin bukan Islam cuba membantu dan menyelami kehidupan umat Islam.

Malah, ia jauh berlawanan dengan gelagat wakil rakyat Barisan Nasional yang selama ini memandang remeh keperluan infrastruktur surau tertentu.

"Hari ini kita tengok Ahli Parlimen Serdang sudah memberitahu tujuan dia bukan bertazkirah tetapi orang menyebut-nyebut dia memberi tazkirah. Mana ada dia bertazkirah, dia menyampaikan maklumat terkini polisi kerajaan Selangor.

"Sebagai wakil rakyat dia perlu untuk menjalankan tugasnya di mana wakil rakyat daripada PR lebih baik daripada menjalankan tugas daripada wakil rakyat BN yang menjalankan tugas yang bukan Islam langsung tidak menghayati budaya orang Islam terutamanya dalam bulan Ramadan,” katanya.

Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan "blessed you". Terima kasih



JAWAPAN

InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di tanahair.

Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang info jelas berkenaannya.

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

a. HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.

Imam An-Nawawi menyebut :

وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')



RINGKASAN DALIL



Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-



* Firman Allah :-



مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)





* Hadis Nabi :



أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )

Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )



b. HUKUM HARUS


Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.

Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.



RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-



* Hadis nabi : -



فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).





* Hadis nabi :-



كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)



Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar kepada "May Allah guide you" atau apa-apa yang seerti dengannya. Namun jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut 'get well soon' atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)





* Hadis nabi :



Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين

Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)



Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.



KESIMPULAN

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله

Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 Ramadan 1431 H

23 Ogos 2010



Tiada ulasan:

Catat Ulasan