Rabu, 28 April 2010

Remaja terkena tembakan.



1. Saya bersimpati kepada keluarga adik ini dan berharap pembaca blog beragama islam menyedekahkan Al-Fatihah. Saya berharap keluarganya redha kalaupun sedih dengan insiden yang berlaku.

2. Acapkali ditanya pendirian saya tentang insiden seperti ini. Dan acapkali saya akan memberi jawapan yang sama; biarkan siasatan berjalan lancar dahulu sebelum kita membuat spekulasi yang terlampau. Saya amat yakin, sekiranya ia terbukti berlaku kecuaian atau kesalahan, pucuk pimpinan PDRM juga tidak akan melindungi tindakan yang tidak diluluskan oleh undang2.

Anugerah Sukan Negara : Azizul Buktikan!

Kejayaan merangkul pingat perak Kejohanan Trek Dunia Dunia melayakkan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009.

Namun, tumpuan peminat sukan tanah air pada Anugerah Sukan Negara,

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah tersebut.

Turut mencemar duli ke majlis tersebut ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

Bagi Azizulhasni, 22, yang terkenal dengan jolokan The Pocket rocketman, kejayaan muncul pelumba Malaysia pertama memenangi pingat pada Kejohanan Trek Basikal Dunia di Poland menjadi kekuatan untuk membawa pulang anugerah buat kali pertama.

Biarpun sekadar meraih perak, kejayaan dalam acara pecut di Pruszkow itu tetap pencapaian yang amat bermakna kerana lumba basikal merupakan sukan yang sangat kompetitif, di mana saiz badan turut memainkan peranan.

Azizulhasni dengan tubuh yang kecil mampu memberi saingan hebat kepada lawan yang jauh lebih sasa, terutama dari Eropah, sekali gus layak diangkat sebagai ikon sukan kerana semangat dan keberaniannya.

Selain meraih perak Kejohanan Dunia, penuntut University Deakin Australia itu turut menjuarai pusingan kedua Piala Dunia Klasik dan juara pecut Grand Prix Medellin di Colombia.

Unit Hal Ehwal Islam UHEI mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol David diatas Anugerah Sukan Negara.

Selasa, 27 April 2010

Ini mereka..masa kita !!!



Bukit Jalil, 27 April - Pihak MSN melalui Kelab&Pasukan Solat Jenazah (PSJ) terus komited kebajikan kepada Anggota MSN & ISN warga sukan selari. Aktiviti kebajikan merupakan keutamaan KELAB untuk sesi 2010-2012 dengan menjadikannya sebagai agenda yang terpenting.

Bantuan terbaru telah diberikan kepada seorang anggota ISN bernama Mohd Reza Rashid yang kematian ibunya pada pagi 27 April pada jam 6.40 pagi di Hospital Ampang Puteri iaitu Arwah Fatimah Bt Talib kerana disyaki ususnya terbelit dan keracunan darah. Jenazah selamat dikapankan dan disembahyangkan sejurus selesai solat Zohor di Masjid Ridwan AU5 Keramat. Ust Dahlan Tukimin bersama-sama dengan Saudara Mohd Zaidi Ibrahim turut juga hadir menziarahi Mohd Reza di Masjid Ridwan Hulu Klang.

Sebelum itu saudara Hafez Kamil staf ISN juga kematian ayahnya dan jenazah arwah ayahnya selamat dikebumikan di perkuburan Taman Selasih Batu Caves pada 20 April (Selasa). Sebelum itu pada 13 April wakil Kelab dan PSJ telah ke Gopeng menziarahi Ibu kepada Tuan Haji Ahmad Damanhuri yang telah kembali ke rahmatullah pada 13 April kerana sakit tua. Arwah yang sudah berumur 87 tahun sudah terlantar sakit di pembaringan lebih 2 tahun. Ustaz Mohammad Hasnol Exco Pembangunan Ahli Kelab yang juga pegawai Agama MSN bersama-sama dengan Puan Ku Asmah Exco yang juga Pengerusi Biro kebajikan Kelab dan Ustazah Norrul Hidayah turut juga hadir yang di temani pemandu Ahmad Razali .

Selain daripada itu UHEI melalui Ustaz Hasnol dan Ustaz Dahlan telah menziarahi Haji Ahmad Majid yang telah berehat di wad HKL kerana diserang demam denggi. Kini beliau telah kembali bertugas seperti biasa setelah hampir 5 hari di HKL.

Oleh MSN merakamkan ucapan takziah di atas ujian yang menimpa ke atas semua waris arwah–arwah tersebut. Semoga ruh arwah ditempat Allah di kalangan As-Solihin hendaknya.

__________________________________________________


Kini sudah 'time' mereka..kita pula!

antum saabiqun wa nahnu laahiquun



Jumaat, 23 April 2010

Kisah mengenai ARAK !


Salah Tafsir……

Suatu pagi yang indah kat sebuah sekolah rendah, seorang guru yang begitu dedikasi mengajar anak2 muridnya tentang betapa bahayanya minuman keras kepada mereka. Sebelum memulakan mata pelajarannya pada hari itu dia telah mengambil 2 ekor cacing yang hidup, sebagai sampel kehidupan dan dua gelas minuman yang masing2 berisi dengan air mineral dan arak..


“Cuba perhatikan murid2.. lihat bagaimana saya akan memasukkan cacing ini kedalam gelas, perhatikan betul2. Cacing yang sebelah kanan saya, akan saya masukkan ke dalam air mineral manakala cacing yang sebelah kiri saya akan masukkan ke dalam arak. Perhatikan betul2.”

Semua mata tertumpu pada kedua2 ekor cacing itu.

Seperti dijangkakan, cacing yang berada dalam gelas yang berisi air mineral itu berenang2 di dasar gelas, manakala cacing yang berada di dalam arak menggeletek lalu mati. Si cikgu tersenyum lebar, apabila melihat anak2 muridnya memberikan sepenuh tumpuan pada ujikajinya.

“Baiklah murid2, apa yang kamu dapat belajar dari ujikaji yang cikgu tunjukkan sebentar tadi??” Dengan penuh yakin anak2 muridnya menjawab,

UNTUK MENGELAKKAN KECACINGAN...MINUMLAH ARAK…

Pengajaran : Cakap biar terang, bak kata-kata dalam filem P Ramlee……….

Khamis, 22 April 2010

Tertindasnya Orang Ikhlas !

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?


Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang
membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Rabu, 21 April 2010

BirthDay vs DeathDay !



(Jazakallah atas doa teman-teman , jua sahabat semua...moga ukhwah kita terus subur dan saling mendoakan zohril ghaib ..amin)

"Kita berbeza bukan kerana BIRTHDAY yang tak sama

Tetapi

.. Kita sama kerana sama-sama tak tahu DEATHDAY kita"

so sama-sama jom ..

HARI-HARI KETUK 'PINTU' SYURGA
tapi..
Bukan mudah untuk 'mengetuk' pintu Syurga...
1. Nak 'ketuk' pakai apa?
2. Bila nak start 'ketuk'
3. Betul ke 'pintu yg diketuk' itu?
4. Boleh dengar ke 'ketukan' kita?
5. Sudikah 'tuan rumah pintu membuka pintu setelah mendengar ketukan'?


namun kita tiada pilihan, cadangan trek untuk sama direntasi :-


1) Cari ILMU ( tak cukup dengan MAKLUMAT ) sbb maklumat bhw kita mesti , wajib hormati IBUBAPA, GURU, SUAMI/ISTERI, jua ANAK-ANAK
all TAHU, tapi ILMU lah yang mem'boster' kita untuk MAHU menghormati mereka walaupun mereka seolah-olah menafikan kita dalam hidup mereka

2) Cari pengalaman orang lain, kita kena cerita A-Z dan minta kawan dan sahabat kita dengar dgn teliti..dan minta dia tunjukkan kita jalan keluar dengan bbrp option, disini masyarakat ada masalah sbb kita sukar mendapat kawan yang status nya 'baik' dengan cara sharing untuk di bimbing..
redha dengan situasi sukar yang ada, kawan yg tunjuk jalan keluar, bukan mengeruhkan lagi keadaan keadaan..

3) Berusaha dengan lapang hati untuk selesai masalah kalau ada, jarang membiarkan diri terbelenggu dengan belenggu buatan sendiri..sentiasa POSITIF dengan semua orang terutama kepada ahli family kita..

Katakan dalam lubuk Hati mu dengan Munajat

" Ya Allah , lembutkan hati kami dengan RAHMAN-MU, sejukkan jiwa ini dengan RAHIM-MU..Ya Allah , bukakan hati mereka Ya FATTAH agar dapat menerima situasi kami ini...Ya A'alima Ma fi Sudurina.."

Kita sebagai anak..
Berapa ramai yang sanggup menerima leteran ibu nya..
lalu berkata "terima kasih ibu"...
terutama bila kita dah berkeluarga sendiri..
"Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya?.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya?..
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya?.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya?....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya.....?


ASAS PERBINCANGAN

Firman Allah SWT yang bermaksud :-

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: " Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."
Riwayat al-Hakim

Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.[1]


Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.[2]


Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:

Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).[3]

Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2654 (Kitab al-Syahadat, Bab apa yang diperkata berkenaan sumpah palsu).
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 8 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2898

kISAH kat tv kita

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:


1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4.00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
> 6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya.
Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu.
Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,
"'Saya Sayangkan Ibu''.

Kemudian si anak mengambil pen dan menulis 'Telah Dibayar' pada mukasurat yang sama ditulisnya.
'Jika kamu menyayangi ibumu,

Mungkin Ibu pernah 'menderhakai' kita selaku anak
tapi ada byk cerita, al kisah yang kita belum tahu

"Ya , ibu mengabaikan saya, meninggalkan saya sewaktu kecil ke tangan ibu angkat!!"
=tapi tahukan saudara MENGAPA ia berbuat demikian?
Banyak pertimbangan yang menyebabkannya berbuat demikian..
Panjang ceritanyanya...alangkah baik BERSANGKA BAIK
kalaulah ibu mu 'bersalah' pun, anda tak layak menghukumnya..
DIAlah ALLAH yang akan menghukumnya kerana AL HAKIIM
tapi dia dah bertaubat
Bukan kah Al HAKIIM tadi jua Al GAFFAR Maha Pengampun
Doakanlah ia dan berbaktilah kepadanya"
Kata saya dalam program bersama belia GiatMara

Terima lah ..
SELAMAT HARI LAHIR MU WAHAI SAUDARA KEMBARKU
SELAMAT DAN SEJAHTERA BUAT IBU KAMI MELAHIRKAN
SELAMAT DAN SEJAHTERA BUAT AYAHANDA YANG MEMBESARKAN
SALAM BUAT TERCINTA BUAT ISTERI DAN ADIK BERADIK KU
DOA BUAT SELURUH KELUARGA MERTUA DI KUALA TERENGGANU, SELAYANG , ALAI MELAKA
SALAM BUAT TEMAN SEPENGAJIAN MENCARI ILMU
SALAM BUAT JEMAAH PENGAJIAN MASJID/SURAU /KURSUS HAJI
SALAM BUAT ALUMNI HAJI MUASASAH, PAKEJ Haji Al Firdaous THTS, PAKEJ UMRAH RAMADHAN IRNA
SALAM BUAT RAKAN PETUGAS HAJI RK TH, JUA RP HOSPITAL AZIZIAH MAKKAH
SALAM BUAT TEMAN FB
SALAM BUAT KEJIRANAN KG BATU / KEPONG
SALAM BUAT JENTERA PENGGERAK DAKWAH ISLAMIYYAH DISELURUH MAYA
SALAM BUAT UMMAH NABI MUHAMMAH SALLAHU ALAIHI WASSALAM

Last sekali..ANDA yang baca tulisan ini

Tahukah anda makna "FAMILY"?
FAMILY = (F)ATHER (A)ND (M)OTHER (I) (L)OVE (Y)OU

" HARGAILAH KELUARGA ANDA "
Go back n love your Family

ULASAN

Ini adalah coretan hati kembarku al-fadhil ustaz haji mohd hasnil..
pohon makluman sekelian bloggers

Isnin, 19 April 2010

Dunia Nak Kiamat!









Gambar yang diambil dari lebuhraya Jeddah ke mekkah 13 Jan 2010


APAKAH DUNIA MAKIN MENGHAMPIRI KIAMAT...

Nampaknya benarlah kiamat itu semakin hampir,

Nabi s.a.w. pernah bagi tahu yang petanda dunia hampir kiamat ialah tanah-tanah Arab yang asalnya gurun & padang pasir kering kontang, tiba-tiba ditumbuhi rumput & pohon-pohon yang subur.

dan gempa bumi berlaku hampir setiap hari..

dulu di china kini di papua ..

lagi terkini di Australia dan di Kabul Afghanistan lagi terkini






Ahad, 18 April 2010

Dasar Busuk Hati Musuh Allah



Penggunaan replika masjid sebagai sasaran penembak dalam latihan ketenteraan Angkatan Tentera Darat Britain di North Yorkshire telah mendapat kecaman daripada kaum Muslimin. Klik Di sini untuk melihat gambar replikanya perbuatan ini mencerminkan tujuan strategik Britain dan kekuatan ketenteraan atas dasar penjajahannya di dunia Muslim.


Taji Mustafa,wakil salah satu NGO Islam Britain berkata, "Terus terang, tentera Britain menggunakan replika masjid sebagai sasaran penembak dalam latihan mereka adalah sangat menjijikkan. Lebih menjijikan lagi kerosakkan yang jelas berlaku terhadap kehidupan manusia, masjid dan bangunan-bangunan yang lain sepertimana yang telah berlaku di Afghanistan dan Iraq sejak 2001. Kaum Muslimin berhak menunjukkan kemarahan mereka, tidak ada yang perlu dihairankan dalam perkara ini."
"Bukti ini bukan sahaja mencerminkan 10 tahun pencerobohan berdarah, penjajahan dan tindakan kejam, tetapi juga mencerminkan matlamat masa depan Britain," ujar Taji Mustafa.

Menurutnya, Britain membuktikan bahawa penjajahan mereka di dunia kaum Muslimin tidak diterima di dunia Islam sehingga mereka sendiri perlu melakukan banyak tindakan keganasan. Perkara ini berlaku tanpa membezakan parti mana yang menang pada pilihan raya yang akan datang, kata Taji Mustafa.

"Kerana kedua-dua parti utama berkomitmen dalam pencerobohan di Afghanistan dan kedua-duanya menyokong perang di Iraq," tegasnya.

"Ahli politik menghabiskan banyak waktu dalam bercakap tentang rancangan 'mencegah' kemarahan umat Islam, sementara mereka aktif dalam mendorong rancangan 'membuat' perang di dunia Islam."

Ini membuktikan bahawa Islam, umatnya dan tempat-tempat ibadah menjadi sasaran tentera Britain dalam terus melaungkan penjajahan di negeri-negeri kaum Muslimin.
"


Jumaat, 16 April 2010

Jaga Tepi Kain Siapa!



AMALAN MENJAGA TEPI KAIN ORANG”

Hari ini seperti jadual bulanan bertugas menyampaikan khutbah di surat jumaat ILP. Setelah membanding antara 3 jenis khutbah termasuk keluaran JAWI,JAKIM dan JAIS , ana mengambil keputusan akan membaca khutbah JAKIM kerana ianya sesuai dengan isu semasa yang berlaku di sekitar kita . Begitu amalan biasa ana walau jauh di sudut hati ingin seperti imam2 di masjid seri petaling yang mampu secara irtijaliyyan berkhutbah.

Sepanjang pengamatan peribadi mengenai persembahan isi khutbah bagi JAKIM,JAWI dan JAIS sudah meningkat banyak. Tahniah kawan2 panel penulis. Kini ana boleh memilih tajuk yang lebih SEGAR BUGAR antara 3 pilihan agar dapat menarik perhatian warga jumaat agar dapat mengambil iktibar untuk 13 minit sesi 2 khutbah. berikut isi kandungan agar dapat berkongsi bersama..

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=blogsection&id=13&Itemid=72


Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf ( menyuruh melakukan kebaikan dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini. Andaikata aktiviti amar makruf dan nahi munkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharaja lela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak .

Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat, dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan dan bantuan daripada mereka yang berada di situ.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melingah-lengahkan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang”, atau mangsa bukan keluarga kita, maka menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:


Maksudnya Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Pada prinsipnya Pepatah Melayu “ jangan jaga tepi kain orang” bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain. Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:

Maksudnya: Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya”( Riwayat: Muslim)

Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian marilah melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketaqwaan kita. Selain daripada itu, amalan menjaga tepi kain orang” sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenalpasti orang-orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.

Dalam keadaan beginilah maka amalan jaga tepi kain orang diguna pakai. Bagaimana pun amalan menjaga tepi kain orang yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinsip amar makruf dan nahi munkar.

Justeru, para jemaah dan umat Islam sekalian jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Jadi tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang perihatin dan mengambil peduli menegur anak anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.

Mimbar mengingatkaan bahawa budaya atau amalan nasihat-menasihati, tegur-menegur adalah unsur penting dalam “amalan menjaga tepi kain orang” kerana ia membawa kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-dzaariyat ayat 55:


Maksudnya; “Dan tetap tekunlah engkau memberiperingatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman”.

Muslimin yang Dikasihi Sekalian

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keperihatinanya sangat tinggi.

Mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab diatas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia untuk sama-sama memikul bebanan ini.Marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah Taala agar pekerjaan amar makruf dan nahi munkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.

Sebagai merumuskan khutbah pada hari yang mulia ini, maka sekali lagi mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa:

Pertama : Setiap orang wajib menjalankan aktiviti amar makruf dan nahi munkar kerana mewarisi amalan Rasul, para nabi dan orang soleh,

Kedua : Kita digolongkan sebagai manusia yang tidak beriman jika bersikap tidak mempedulikaan dan perihatin terhadap jiran tetangga yang jauh dan dekat,

Ketiga : Amalan menjaga tepi kain orang adalah sebahagian aktiviti amar makruf dan nahi munkar serta berupaya menyelamatkan nyawa dan akhlak manusia, dan

Keempat :Setiap kebaikan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104


Maksudnya:Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”